Setahun sudah berlalu, apa status siasatan ‘video intim’ mirip Azmin? soal Pemuda PKR

Setahun sudah berlalu, apa status siasatan ‘video intim’ mirip Azmin? soal Pemuda PKR

Pada 12 Jun 2019 bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks tular, sekali gus menamakan Azmin sebagai pasangannya.

Pemuda PKR berkata, Azmin tidak layak menuduh Anwar melakukan perbuatan tidak bermoral kerana beliau sendiri terkait dengan ‘masalah moral’.
PETALING JAYA:
Pemuda PKR membidas alasan bekas timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan berkata “perlakuan tidak bermoral” Anwar Ibrahim adalah antara punca beliau meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM.

Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Azmin tidak layak menuduh orang lain melakukan perbuatan tidak bermoral sedangkan beliau sendiri terkait dengan pelbagai masalah moral.

Beliau turut meminta Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjelaskan status terkini siasatan kes rakaman video intim yang didakwa membabitkan Azmin.

“Setahun sudah berlalu, adakah polis masih gagal menemui sebarang bukti untuk mengesahkan identiti pelaku?

“Saya menggesa pihak berkuasa mengumumkan status terkini kes terbabit dan tidak bersikap berat sebelah untuk melindungi mana-mana individu berpengaruh,” katanya dalam kenyataan.

Syed Badli memberi respons terhadap kenyataan Azmin sebelum ini yang mendakwa “perlakuan tidak bermoral” Anwar adalah antara punca yang mendorongnya meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM dalam jawapannya terhadap saman difailkan oleh pengundi Gombak.

Tahun lalu, Abdul Hamid dilaporkan berkata, siasatan terhadap video seks tersebut tidak dapat diteruskan atas faktor teknikal.

Syed Badli berkata, walaupun siasatan kes berkenaan tidak dapat diteruskan kerana faktor teknikal, namun tidak bermakna ia ditutup terus.

Beliau berkata, siasatan sebaliknya boleh dibuka semula dengan adanya bukti baharu.

Ahmad Syukri Che Ab Razak.

Mengulas isu sama, Setiausaha Pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razak menyifatkan alasan Azmin mengaitkan salah laku moral Anwar sebagai alasan terdesak untuk mempertahankan jawatan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Reputasi beliau sebagai menteri semakin dipersoalkan ramai orang, terutama berkait pengurusan sektor ekonomi sewaktu negara berdepan pandemik Covid-19.

“Serangan beliau terhadap Anwar hanya bertujuan mengalih perhatian orang ramai daripada kegagalan beliau,” katanya kepada FMT.

Syukri seterusnya berkata, politik Malaysia tidak perlu diheret ke dalam perbincangan mengenai skandal lucah dan perlu dihentikan.

Pada 12 Jun 2019, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks tular, sekali gus menamakan Azmin sebagai pasangannya.

Ia bagaimanapun dinafikan oleh bekas timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pada Jan tahun lepas, Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak akan membuat pendakwaan berhubung kes tersebut kerana gagal mengenal pasti individu terbabit dalam video berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.