
“Mana statistik mengenai kes bulanan dilaporkan dari kemudahan swasta? Mana bilangan kes yang tidak dilaporkan oleh kemudahan itu? Apa tindakan diambil kerajaan negeri setakat ini? soal presidennya Dr Subramaniam Muniandy.
Katanya, walaupun MMA memahami kebimbangan disuarakan kerajaan negeri, tidak adil untuk menyasarkan klinik serta hospital swasta sedangkan semua pihak berdepan tekanan dalam menangani pandemik.
Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberi amaran jabatan kesihatan negeri akan bertindak terhadap klinik serta hospital swasta kerana lambat melaporkan kes Covid-19. Beliau menegaskan kes seperti itu patut dilaporkan pada hari sama menerusi sistem informasi makmal kesihatan awam.
Katanya, jabatan kesihatan melihat lonjakan mengejut jumlah kes positif akibat tunggakan dalam saringan pekerja kilang, tahanan penjara selain yang dilakukan di klinik serta hospital swasta yang tidak dilaporkan terus.
Susulan itu, Subramaniam berkata memandangkan semua pekerja kesihatan kini berdepan isu ini, kementerian terbabit dan kerajaan negeri patut bekerjasama sebagai satu pasukan, dan semua pihak patut berhenti saling menuding jari.
“Jika ada bukti salah laporan, MMA akan menyokong penuh sebarang tindakan kemudahan kesihatan swasta yang bersalah. Tunjukkan statistik sebelum mengeluarkan amaran,” katanya.
Dalam isu berkaitan, MMA berkata segelintir makmal swasta melakukan ujian dan saringan besar-besaran tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Menurut KKM, ujian Covid-19 hanya boleh dilakukan klinik perubatan swasta, pusat penjagaan ambulatori atau hospital swasta,” katanya. “Bagaimanapun, KKM menutup mata terhadap makmal swasta yang melakukannya.”
Subramaniam mencadangkan kerajaan turut menyiasat orang tengah yang mengkomersialkan saringan besar-besaran.
“Kami menggesa KKM melakukan audit penuh terhadap makmal swasta yang melakukan ujian.”