Menteri wanita gesa hukuman tegas pesalah dera kanak-kanak sampai mati

Menteri wanita gesa hukuman tegas pesalah dera kanak-kanak sampai mati

Rina Harun berkata kes itu perlu disiasat segera dengan teliti.

Norlida Abu Hassan, 50 (tengah) menunjukkan gambar anak angkatnya berusia 7 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun menggesa pesalah yang menyebabkan kematian kanak-kanak berusia 7 tahun akibat didera di Melaka kelmarin diambil tindakan tegas.

Beliau juga mahu kes itu disiasat segera dengan teliti.

“Agar perkara sebegini tidak berulang lagi, di samping menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak termasuk yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, suami isteri berusia 32 dan 38 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka Mohd Sukri Kaman berkata, perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd Anuar Ostadi di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Dalam pada itu, Rina berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.

Katanya, kementeriannya akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta memastikan tindakan tegas diambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kanak-kanak.

“Kementerian juga sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak-kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan,” katanya.

Sementara itu, Wanita Umno menzahirkan rasa hiba dan simpati di atas kematian kanak-kanak berkenaan.

Ketuanya, Noraini Ahmad berkata lebih mengecewakan apabila dilaporkan pelaku adalah ibu kandung dan bapa tiri mangsa.

“Keluarga yang sepatutnya menjadi tempat berlindung, namun malang sebaliknya berlaku.

“Wanita Umno mendesak pihak berwajib segera mengambil tindakan tegas supaya pelaku dihadapkan ke muka pengadilan, sekali gus menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, kanak-kanak lelaki itu maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya.

Kanak-kanak itu didakwa lemas dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira 4 petang, namun siasatan awal polis mendapati ada kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.