Cinta ‘jejaka AS’ buat wanita 57 tahun rugi RM300,000

Cinta ‘jejaka AS’ buat wanita 57 tahun rugi RM300,000

Mangsa yang masih bujang mendakwa ditipu selepas bercinta dengan seorang lelaki konon dari Amerika Syarikat menerusi Facebook.

Wanita itu memindahkan wang miliknya secara berperingkat bermula pertengahan Oktober hingga akhir Disember tahun lepas membabitkan 49 transaksi ke 14 akaun bank tempatan yang diberikan oleh suspek. (Gambar AFP)
KEPALA BATAS:
Seorang penjawat awam wanita kerugian RM300,000 selepas diperdaya oleh sindiket “Love Scam” baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 57 tahun dan masih bujang itu mendakwa ditipu selepas bercinta dengan seorang lelaki konon dari Amerika Syarikat (AS) menerusi laman sosial Facebook.

“Setelah hampir sebulan menjalinkan hubungan cinta, suspek mula menceritakan kisah sedih yang menimpanya untuk meraih simpati mangsa.

“Mangsa yang mula percaya serta bersimpati dengan kisah sedih tersebut bersetuju untuk menghulurkan bantuan dengan memberi pinjam wangnya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, wanita itu memindahkan wang miliknya secara berperingkat bermula pertengahan Oktober hingga akhir Disember tahun lepas membabitkan 49 transaksi ke 14 akaun bank tempatan yang diberikan oleh suspek.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu mangsa memindahkan wang sebanyak RM300,000 kepada suspek tersebut dan hanya menyedari dia ditipu apabila lelaki berkenaan masih meminta untuk meminjamkan wang sedangkan mangsa sudah memberi jumlah pinjaman yang banyak kepadanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik akaun yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.