
Beliau berkata usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan dikenali sebagai Program MyBeras@Wilayah.
“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan dalam proses pengagihan, jangan lupa perlu kekal mematuhi SOP tertentu yang ditetapkan demi menjaga diri kita dari dijangkiti Covid-19,” katanya dalam perutusan khas Sempena Hari Wilayah Persekutuan.
Beliau juga melancarkan Program Kemiskinan Bandar (5MY) di Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendukung inspirasi Wilayah Persekutuan dan memuji Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengambil pelbagai pendekatan yang inklusif dalam menangani isu kos sara hidup, kelangsungan hidup rakyat serta membasmi kemiskinan.
Katanya, usaha itu khususnya semasa Covid-19 telah melancarkan Program 5MY iaitu MYJobs@Wilayah, MYGrocer@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan kerana proaktif dalam melengkapkan inisiatif kerajaan dengan melaksanakan program “social safety net” di Wilayah Persekutuan.
“Hal ini konsisten dengan penegasan kepada rakan-rakan menteri Kabinet supaya segala inisiatif kebajikan rakyat mestilah dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada agensi Kementerian iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan atas inisiatif murni itu.
Beliau berkata kerajaan PN akan terus komited untuk melaksanakan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif sekaligus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu.
“Di Wilayah Persekutuan dan di seluruh negara, kita hendaklah meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.
“Ini adalah hasrat yang telah kita nyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.