Syarikat penghantaran bertanggungjawab ke atas penunggang pandu melulu, kata pakar

Syarikat penghantaran bertanggungjawab ke atas penunggang pandu melulu, kata pakar

Syarikat perlu menggunakan teknologi bagi memantau pergerakan penunggang penghantaran.

Statistik polis mendapati 3,118 penunggang motosikal terbunuh tahun lalu dan kebanyakannya adalah penunggang penghantaran.
PETALING JAYA:
Syarikat penghantaran makanan dan bungkusan mesti memantau penunggang motosikal masing masing dan mengambil tindakan ke atas mereka yang menunggang dengan laju dan melanggar peraturan trafik semasa menjalankan tugas , kata pakar keselamatan jalan raya .

Saranan itu dibuat berikutan kenyataan polis bahawa 3,118 penunggang motosikal terbunuh tahun lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, kebanyakannya adalah penunggang penghantaraan yang didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk memecut semasa lampu merah.

Ahli lembaga Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (Miros) Wong Sha Voon berkata, pakar teknologi yang diambil bekerja oleh syarikat penghantaran boleh memantau penunggang mereka.

“Mereka boleh mengurus keselamatan penunggang dengan memeriksa data sama ada penunggang membawa motosikal dengan laju atau berbahaya.

“Adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memastikan penunggang penghantaran mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Wong Shaw Voon.

Beliau berkata, penunggang yang memecut laju atau melanggar lampu merah misalnya membahayakan bukan sahaja diri mereka, tetapi juga orang lain.

Wong mencadangkan penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas perlu diberi amaran, diikuti pemotongan insentif bulanan dan tindakan terakhir diberhentikan kerja.

Katanya, ini akan memastikan penunggang mematuhi undang undang dan protokol keselamatan yang kebanyakkan syarikat mengaku mengamalkannya..

Wong berkata, satu lagi cara ialah dengan memastikan syarikat mengikuti peraturan dengan menggabungkan standard antarabangsa mengenai pengurusan keselamatan jalan raya dan pengurusan kakitangan yang berulang alik.

“Juruaudit mesti memeriksa sama ada syarikat diperakui di bawah piagam antarabangsa dan sama ada mereka mempraktikkanya .

“Jangan luluskan pengauditan syarikat yang tidak mematuhi piagam,” katanya.

Wong yang juga ahli panel pakar Tabung Keselamatan Jalanraya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, motosikal ialah kenderaan paling bahaya dengan kajian menunjukkan menunggangnya adalah 15 kali lebih berbahaya daripada menunggang basikal.

Terdahulu pengarah Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias berkata, selain angka korban penunggang motorsikal yang tinggi, pemandu kenderaan lain mencatatkan 888 kematian dan pejalan kaki 266 sepanjang tahun lepas.

Menurut Azisman, angka kemalangan jalan raya keseluruhan berkurang 26.3% tahun lepas kepada 418,237 kes berbanding 567,516 kes pada 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.