
Pensyarah kanan Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini bagi mengelakkan lebih banyak perniagaan gulung tikar dan rakyat kehilangan pekerjaan, sekali gus menjadi muflis.
“Fokus harus diberi dalam memastikan perniagaan masih ada kecairan tunai untuk menampung kos operasi dan rakyat pula masih ada duit untuk sara hidup,” katanya kepad FMT.
Khamis lalu, Shahril mencadangkan supaya kerajaan lebih menumpukan kepada ekonomi rakyat dalam pengurusan kewangannya tahun ini.

Katanya, sasaran untuk mencapai defisit rendah disifatkan terlalu mengekang langkah membantu ekonomi rakyat dan tidak relevan ketika ini.
Ahmed Razman berkata, peruntukan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Program Subsidi Upah (PSU) dan Geran Khas Prihatin (GKP) kepada perusahaan kecil dan sederhana amat membantu.
Bagaimanapun beliau berkata, pada masa yang sama kerajaan harus memastikan perniagaan masih mampu menjana pendapatan dan rakyat terus mempunyai peluang kerja.
“Ini boleh dicapai jika inisiatif kerajaan seperti peruntukan RM3.7 billion untuk menyediakan peluang pekerjaan dan program MySTEP atau program pekerjaan jangka pendek dapat dilaksanakan seperti yang diharap.
“Pada masa ini masih lagi ada ruang untuk kerajaan melaksanakan pelbagai suntikan fiskal ke dalam ekonomi dengan menambah hutang baharu kerana hutang kerajaan persekutuan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih terkawal di bawah 70%,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Mohd Yusof Kasim berkata, beliau bersetuju dengan Shahril kerana rakyat mesti diutamakan bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan .
Katanya, peranan kerajaan menjadi bertambah perlu dalam keadaan ekonomi global yang tidak stabil dan kurangnya kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.
“Ekonomi negara perlu dipacu oleh pertumbuhan dalaman dengan perbelanjaan awam serta swasta ditingkatkan untuk mencapai matlamat ekonomi,” katanya.
Mohd Yusof berkata, strategi ini memberi faedah kepada pengguna dan pengeluar.