Tiada kompromi, kata Putrajaya selepas indeks rasuah global

Tiada kompromi, kata Putrajaya selepas indeks rasuah global

Pejabat Perdana Menteri berkata, dasar dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan tadbir urus adalah jelas dan berterusan.

Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah.
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan mengulangi komitmennya untuk terus memerangi rasuah dan akan mendukung kedaulatan undang-undang, selepas Malaysia turun enam anak tangga ke tempat ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.

Pejabat Perdana Menteri berkata, dasar dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan tadbir urus adalah jelas dan berterusan.

Katanya, kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah dan tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip “rule of law”.

“Seperti mana yang telah dimaklumkan pada peringkat awal pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) masih diteruskan bagi meningkat tadbir urus kerajaan, selain mengurangkan dan menutup peluang-peluang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

“Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) juga sentiasa melihat kepada kaedah dalam meningkatkan tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Skor Malaysia dalam CPI Transparency International tahun lalu merosot dua mata, perbezaan ketara berbanding peningkatan yang dilihat selepas pilihan raya umum ke-14.

Malaysia mendapat 51 daripada 100 dalam laporan terbaru. Pada 2019, ia mencapai skor 53, peningkatan ketara daripada 47 sebelum pilihan raya umum 2018 – yang terendah sejak metodologi itu disemak semula pada 2012.

Singapura mendahului Asia Tenggara dan di kedudukan ketiga seluruh dunia dengan skor 85. Malaysia di tempat ketiga selepas Brunei yang mendapat skor 60.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.