
Pengerusi PPC, Tan Teik Cheng berkata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz bersetuju mewartakan Pangkalan Kontena Butterworth Utara sebagai FTZ.
Katanya, ini akan menjadikan Pulau Pinang naik ke tahap seterusnya kerana lebih ramai pemain global boleh datang ke Butterworth untuk meraih manfaat daripada perdagangan bebas.
“Dengan bantuan dan dorongan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dan menteri kewangan, era gemilang perdagangan bebas Pulau Pinang akan kembali.”
Tan berkata, zon bebas terbahagi kepada FTZ untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan komersial, manakala zon perindustrian bebas dibenar menjalankan aktiviti pengilangan.

“Oleh kerana FTZ menyediakan kemudahan komersial, termasuk perkhidmatan penghantaran dan penyimpanan yang cekap serta dasar pemberian insentif, diyakini banyak pelabur dari seluruh dunia akan datang ke sini untuk menjalankan aktiviti nilai tambah yang dibenarkan seperti memecah pukal, menggred, pembungkusan semula, melabel semula, transit dan mengeksport semula.”
Katanya, pewartaan itu dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan tempatan dan mendorong industri pembuatan domestik.
“Syarikat asing dapat menggunakan kemudahan yang disediakan di FTZ dan seterusnya dieksport semula ke luar negara.
“Oleh kerana mereka dapat menikmati perkhidmatan tanpa bayaran duti kastam, duti eksais, cukai jualan atau cukai perkhidmatan, kecuali bagi barang tertentu di bawah Perintah Zon Bebas 1998, harga barangan yang dieksport dijangka lebih rendah.”
Beliau berkata, PPC akan berusaha meningkatkan perkhidmatan pelabuhan supaya dapat menarik lebih ramai pelabur asing ke Pulau Pinang.
Pulau Pinang pernah menjadi pelabuhan bebas sehingga 1967 sebelum status itu dibatalkan.