Dari dapur ke jalanan, pengusaha hotel P Pinang buka tapak jualan makanan

Dari dapur ke jalanan, pengusaha hotel P Pinang buka tapak jualan makanan

Cef atau tukang masak hotel mengambil inisiatif untuk membuka gerai di tepi jalan bagi meraih pelanggan.

Hotel JEN Pulau Pinang di George Town kini menyediakan makanan menerusi khidmat pandu lalu.
GEORGE TOWN:
Dengan ketiadaan tetamu hotel dan pelancong di bandar, beberapa hotel di Pulau Pinang kini mengambil inisiatif dengan menjual makanan di luar premis mereka sebagai memenuhi keperluan.

Bukan sahaja disediakan oleh tukang masak atau cef handalan yang kini beralih menjadi pengendali makanan di tepi jalan, hotel juga memberikan penginapan percuma untuk pelanggan tetap mereka.

Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), hotel tidak dibenarkan menawarkan bilik kepada sesiapa kecuali pegawai kerajaan, barisan hadapan dan pekerja perkhidmatan penting. Dapur dan restoran mereka juga ditutup kerana makan dalam hotel tidak dibenarkan.

Gerai makanan di tempat letak kereta Rasa Sayang Resort di Batu Ferringhi.

Bagi meraih manfaat sepenuhnya dari pasaran beli bawa pulang ini, hotel lima bintang berhampiran Komtar di sini menukar ruang di pintu masuk, yang selalunya dipenuhi dengan kereta valet, menjadi tapak gerai jualan makanan.

Hotel JEN Penang kini beralih kepada perniagaan makanan sepenuh masa, menyaksikan tukang masak handalannya melangkah keluar dari dapur berkelas lima bintang semata-mata untuk menyajikan makanan gerai kegemaran tempatan seperti kuetiau basah.

Seorang jurucakap berkata, perniagaan berkonsep “lorong penjaja” itu bermula sejak semalam dengan harga ‘bukan berkelas hotel’ antara RM6 dan RM8.50. Minuman pula, dari teh tarik hingga latte juga amat berpatutan bagi sebuah hotel mahal, dari RM2.50 hingga RM10.

Sebagai sumber pendapatan alternatif, hotel lima bintang lain di pulau itu turut menyediakan makanan dan minuman di luar premis mereka. Resort The Rasa Sayang dan Hotel Golden Sands di Batu Ferringhi telah menukar tempat letak kenderaan mereka menjadi tapak untuk gerai kecil, menjual laksa, mi hokkien dan cendol.

Gerai mi di Hotel Bayview Beach di Batu Ferringhi.

Makanan berharga antara RM5 hingga RM12 dengan mata ganjaran diberikan kepada pembeli untuk setiap pembelian sebanyak RM2. Dengan 350 mata terkumpul, seorang pelanggan berpeluang mendapat penginapan percuma untuk satu malam.

G Hotel di Gurney Drive turut mengambil pendekatan sama dengan menawarkan pelbagai hidangan mewah dengan harga bersih RM15. Hotel Bayview Beach di Batu Ferringhi juga mengikut jejak yang sama menjual makanan di luar pintu masuk, seperti ais kacang berharga RM5 dan RM6 untuk kopi dalgona.

Persatuan Hotel Malaysia baru-baru ini memberitahu FMT, industri hotel terus terjejas, dengan jumlah tetamu menurun bawah 20% di seluruh negara. Antara Mac dan Nov tahun lalu, sebanyak 204 perniagaan pelancongan dan hotel ditutup kerana sekatan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.