
KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer S1.4 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), berhampiran susur masuk Putra Height semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Azman Shariat berkata, wanita berusia 30 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 6 petang itu.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha YZF- R15 dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan menyebabkannya terpelanting lalu melanggar sebatang pokok.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan bagi mengesan jika melibatkan kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.