4,094 kes baru Covid-19, 10 kematian

4,094 kes baru Covid-19, 10 kematian

Daripada jumlah kes baharu, 4,086 adalah penularan tempatan manakala lapan jangkitan di luar negara.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan melaporkan 4,094 kes baru Covid-19 dengan 10 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Daripada jumlah kes baru hari ini, sebanyak 4,086 kes ialah penularan tempatan dan baki lapan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 3,281 pesakit dilaporkan sembuh dalam tempoh sama, menjadikan keseluruhan 154,299 kes pulih daripada 198,208 kes Covid-19 setakat ini.

Terdapat 43,192 kes aktif di seluruh negara dengan 118 daripada 303 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, angka korban kini meningkat kepada 717 kematian, selepas sembilan warganegara dan seorang warga asing berusia 22 hingga 89 tahun meninggal dunia akibat virus itu hari ini.

Lelaki berusia 22 dan 32 tahun itu tidak mempunyai latar belakang penyakit lain, manakala dua lagi individu hanya didapati positif Covid-19 selepas mayat mereka dibawa ke hospital.

Katanya, masing-masing tiga kematian direkodkan di Sabah dan Selangor, dua di Kuala Lumpur dan masing-masing satu kematian di Kedah serta Sarawak.

Hisham berkata, Selangor terus mencatatkan jumlah kes baru tertinggi, iaitu 1,577 kes (38.5%).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,262 kes (80%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ia diikuti Johor sebanyak 717 kes dan Kuala Lumpur (678), Sabah (282), Sarawak (171), Pulau Pinang (99), Perak (94), Kedah (92), Terengganu (80), Melaka (73), Pahang (72), Labuan (55), Negeri Sembilan (48), Kelantan (37), Putrajaya (10) dan Perlis (9).

“Sebanyak 27 kes (0.7%) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen (DTI) dan penjara yang membabitkan kluster Tembok Mempaga (11), Penjara Jalan Sungai Jelok (5), Penjara Seberang Perai (4), Penjara Jalan Harapan (2), DTI Sepang 2 (2), Tembok Bukit Besi (2) dan Tembok Sungai Udang (1).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.