Thaipusam suram buat penganut cilik 8 tahun

Thaipusam suram buat penganut cilik 8 tahun

Phavickneyaraj Jeyaraj tidak akan dapat membawa kavadi tahun ini seperti lima tahun-tahun sebelumnya.

Phavickneyaraj di hadapan patung Dewa Murugan di Batu Caves pada 2018. (Gambar S Jeyaraj)
PETALING JAYA:
Sejak lima tahun lalu, si cilik Phavickneyaraj ini telah mendaki 272 anak tangga ke puncak Batu Caves bagi menunaikan sembahyangnya.

Dan dia teruja menantikan aktiviti itu lagi pada hari Thaipusam hari ini. Namun sejak minggu lalu, ayahnya, S Jeyaraj mula memikirkan cara terbaik untuk memberitahu anaknya yang berusia 8 tahun itu bahawa kali ini, dia tidak akan dapat menunaikan upacara itu.

Sambutan Thaipusam di Batu Caves, dan di seluruh negara, dibatalkan berikutan lonjakan kes Covid-19.

Hanya perarakan membawa pedati Thaipusam dari Kuala Lumpur ke Batu Caves dibenarkan, dan hanya akan melibatkan 10 peserta, tertakluk pada peraturan Covid-19. Malah, para penganut tidak dibenarkan untuk menyaksikan perarakan tersebut di sepanjang laluannya.

“Saya belum beritahu dia yang kami tidak boleh pergi ke Batu Caves. Saya risau dia akan jadi sangat sedih,” kata Jeyaraj kepada FMT.

“Setiap tahun dia membawa ‘paal kudam’ (pasu berisi susu) yang kecil. Tahun ini, dia mahu membawa pasu yang lebih besar,” katanya sambil menambah, anaknya sentiasa menantikan untuk pergi ke Batu Caves setiap tahun bagi menyambut perayaan itu.

Rajaseckerran M Suppiah bersama anaknya Kishanthan, isterinya Komathi and seorang lagi anaknya, Sathia Seelan.

Jeyaraj bagaimanapun bersetuju, membatalkan sambutan perayaan tersebut adalah tindakan yang tepat memandangkan situasi Covid-19 semasa.

“Kami telah mengajar anak kami tentang virus dan SOP (prosedur operasi standard), jadi dia cukup peka dengan isu itu. Saya yakin dia akan faham walaupun dia akan tetap sedih,” katanya.

Seorang lagi penganut, Rajaseckerran M Suppiah, juga berkata dia sedih kerana tidak dapat pergi ke Batu Caves untuk menyambut Thaipusam.

“Saya berusia empat tahun ketika pertama kali pergi ke Batu Caves untuk Thaipusam bersama ayah saya. Saya pergi setiap tahun, kecuali beberapa kali,” kata Rajaseckerran, 54, kepada FMT.

Lazimnya, dia dan isterinya akan membawa “paal kudam” sementara dua anak lelakinya akan membawa kavadi.

“Saya agak sedih kerana kita tidak dapat merayakan (Thaipusam) dan menunaikan kewajipan agama seperti biasa tetapi mengekang penyebaran Covid-19 adalah tanggungjawab semua orang, kita mesti mengelakkan perhimpunan besar,” katanya.

Tambahnya, sementara ada yang berpendapat perayaan itu boleh diadakan pada skala yang lebih kecil tertakluk pada peraturan Covid-19, itu tidak berbaloi dengan risiko yang dihadapi.

“Tahun ini, kami hanya akan sembahyang di rumah. Saya yakin Dewa Muruga akan faham dan tahun depan, kalau Covid-19 berjaya dikekang, kami boleh kembali ke Batu Caves.

“Saya harap semua orang akan patuh dengan peraturan dan elakkan perhimpunan. Tolong jadi bertanggungjawab, kita tidak mahu ada kluster Thaipusam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.