PKP di Sibu dilanjutkan hingga 14 Feb

PKP di Sibu dilanjutkan hingga 14 Feb

Keputusan itu dibuat susulan jumlah kes positif di Sarawak masih tinggi serta bilangan kawasan hijau yang semakin berkurangan

KUCHING:
Perintah kawalan pergerakan (PKP) di Sibu yang dijadualkan tamat Jumaat ini, dilanjutkan sehingga 14 Feb, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, keputusan kerajaan negeri itu dibuat susulan jumlah kes positif di Sarawak masih tinggi serta bilangan kawasan hijau yang semakin berkurangan.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga memutuskan untuk melanjutkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di bahagian lain di Sarawak yang bakal tamat Ahad ini, sehingga 14 Feb.

“Setakat hari ini, hanya tinggal 11 daripada 40 daerah di Sarawak berstatus hijau. Ini menunjukkan situasi Covid-19 di Sarawak belum lagi terkawal,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga timbalan ketua menteri Sarawak berkata, hari ini Sarawak merekodkan satu kematian akibat Covid-19 di Sibu, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 34 kes.

Katanya, negeri itu juga mencatatkan 70 kes Covid-19 hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 3,774 kes.

Ketika diminta mengulas mengenai trend jangkitan semasa Covid-19 di negeri itu, Uggah berkata gelombang ketiga pandemik itu tidak menentu dengan angka naik turun.

“(Tetapi) kami diberi taklimat terdapat petunjuk trend (kes positif) akan turun. Tetapi saya harap rakyat jangan leka dan rakyat jangan fikir keadaan sudah selamat. Wabak ini masih belum berakhir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.