Perarakan pedati Thaipusam di P Pinang tak sah, kata Ramasamy

Perarakan pedati Thaipusam di P Pinang tak sah, kata Ramasamy

Timbalan ketua menteri itu berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mengambil alih pengurusan kuil Chettiar dan menyelar pihak berkuasa kuil kerana melanggar larangan kerajaan negeri serta MKN.

Perarakan pedati Chettiar di Pulau Pinang pagi tadi diadakan dengan pengawasan ketat polis.
GEORGE TOWN:
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy berkata, perarakan pedati perak sempena Thaipusam pagi tadi tidak sah.

Malah, beliau mengancam untuk mengambil alih pengurusan kuil Chettiar kerana meneruskan perarakan pedati tanpa memperolehi kelulusan, termasuk daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Negeri itu melarang perarakan Thaipusam tahun ini disebabkan Covid-19, tetapi pedati itu tetap memulakan perjalanannya pagi tadi selepas seorang menteri persekutuan dikatakan campur tangan dalam hal berkenaan.

Ramasamy berkata, perarakan pedati di Pulau Pinang itu, yang mendakwa terhad disertai 10 orang, menyebabkan ramai menuju ke kuil Chettiar pada awal pagi untuk menunggu pedati itu, dengan banyak video membuktikan sekumpulan besar penganut Hindu berhimpun di sana.

Disebabkan tindakan berani melanggar arahan kerajaan Pulau Pinang dan MKN, katanya, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas penganjurnya.

Beliau berkata, Pemegang Amanah Nattukottai Chettiar juga akan menghadapi kemungkinan kuil diambil alih di bawah undang-undang negeri.

“Itu adalah perarakan haram. Bukan saja (perarakan itu) bertentangan keputusan MKN, tetapi juga polisi kerajaan Pulau Pinang.

“Sekiranya MKN mengizinkan perarakan seperti yang didakwa, akan ada kebenaran dalam bentuk hitam putih berserta SOP yang ditetapkan, seperti perarakan pedati di Batu Caves, tetapi ini tidak ada.

“Kami akan menulis kepada jawatankuasa kuil Chettiar untuk bertanya mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap mereka kerana melanggar perintah itu,” katanya dalam sidang media di Komtar.

Beliau berkata, keputusan untuk membatalkan sambutan Thaipusam di Pulau Pinang bukan dibuatnya, tetapi ia keputusan kolektif selepas perundingan dengan semua pihak, termasuk ahli Chettiar. Keputusan itu kemudian disahkan ketua menteri.

Beliau juga menamakan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan sebagai orang yang campur tangan dalam isu itu sehingga pihak kuil mengadakan perarakan pedati itu.

“Saravanan menelefon saya untuk memberitahu (perarakan) pedati itu boleh berjalan. Saya katakan kepadanya jangan campur tangan urusan Pulau Pinang.

“Kami prihatin dengan (situasi) pandemik yang semakin buruk. Nampaknya Saravanan telah meminta Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri (Yaakob) untuk memberi keizinan. MKN belum memberitahu kami tentang hal ini.”

Ramasamy berkata, lebih baik jika Saravanan menggunakan tenaganya untuk mengembalikan cuti peristiwa bagi sambutan Thaipusam di Kedah tahun ini.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang juga pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, kesal dengan tindakan ahli Chettiar yang menentang perintah kerajaan negeri.

Apabila Putrajaya membenarkan perarakan seperti itu, kata beliau, penganut agama lain akan mula menuntut untuk mengunjungi tempat ibadat mereka.

“Isu ‘jika mereka boleh buat, kenapa kita tidak boleh’ akan timbul. Sekiranya lebih ramai penduduk Pulau Pinang mati kerana Covid-19, adakah Saravanan…akan bertanggungjawab?

“Mengapa Putrajaya mengizinkan ini ketika angka Covid-19 sedang tinggi?” tanya beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.