KPM boleh kerjasama dengan penyiaran swasta sedia TV Pendidikan

KPM boleh kerjasama dengan penyiaran swasta sedia TV Pendidikan

Ia bagi menyelesaikan masalah capaian internet di pedalaman atau dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan untuk memiliki komputer riba dan telefon pintar.

Salleh Said Keruak berkata semua pihak mencari cara terbaik menghadapi isu PdPR. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak mencadangkan beberapa langkah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk digunakan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Beliau berkata, KPM boleh menggunakan pendekatan lain dengan menyediakan bahan pengajaran efektif secara merakam sesi pengajaran dijalankan guru berpengalaman.

“Rakaman boleh diedarkan kepada sekolah atau diletakkan di media sosial KPM sendiri.

“Dengan cara ini, tugas guru lebih tertumpu kepada membimbing pelajar dan mampu memberi perhatian dalam proses membentuk kemenjadian murid,” katanya di blognya.

Pemimpin Umno Sabah itu juga mencadangkan, bagi menyelesaikan masalah capaian internet di pedalaman atau keluarga kurang berkemampuan untuk memiliki komputer riba dan telefon pintar, TV Pendidikan boleh dilaksanakan dengan kerjasama penyiaran swasta agar rakaman setiap mata pelajaran boleh diulang siar 24 jam.

Katanya, semua pihak mencari cara terbaik menghadapi isu PdPR.

“Oleh itu, tidak wajar kita membandingkan PdPR dalam talian ini dengan PdP secara bersemuka kerana kesan PdP di kelas melalui proses sangat matang jika hendak dibandingkan kesan PdPR dalam talian yang umurnya baru setahun jagung.

“Apa yang penting sebagai rakyat Malaysia, kita sama-sama fikirkan cara terbaik untuk memastikan pandemik Covid-19 ini berakhir,” katanya.

Salleh berkata, PdPR adalah pilihan terbaik buat masa ini.

“Langkah ini dilihat sebagai tepat dan perlu memandangkan kenaikan mendadak kes Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.