
Bagaimanapun, Noraini memberi jaminan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berusaha sehabis baik bagi memastikan semua pelajar IPT sama ada di bandar, luar bandar mahupun pedalaman mendapatkan capaian internet yang sama rata.
Noraini berkata, kementeriannya sedang mendapatkan tawaran terbaik daripada syarikat pembekal pelan data dan peranti seperti Celcom, Maxis, Digi dan UNIFI serta Acer Student Purchase Program- MOHE, Samsung Education Store dan Education AOS Store Home.
“KPT juga sudah mengadakan perbincangan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk satu lagi inisiatif pinjaman kewangan bawah Skim BSN MyRinggit-i COMSIS bagi pembelian komputer riba oleh pelajar IPT.
“KPT melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sudah melancarkan satu inisiatif ‘crowdfunding’ melalui Tabung Prihatin Siswa sebagai satu platform bagi mempelawa pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan aktiviti PdP tanpa kekangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut Noraini berkata, sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 195,028 pelan data dan 3,773 peranti sudah diedarkan kepada pelajar IPT kategori B40 bersasar sejak Pakej Pelan Data dan Peranti dilancarkan pada 30 Okt 2020.
Pada masa sama, katanya, sebanyak 3,997 komputer riba dan komputer meja sedang dalam proses perolehan oleh kementerian itu untuk diedarkan kepada pelajar terbabit.
Justeru, Noraini berkata KPT juga mengalu-alukan sekiranya ada pihak swasta mahu menyalurkan sumbangan dan mereka yang ingin berbuat demikian boleh melayari pautan di www.billplz.com/tabungsiswa.
Noraini berkata, tindakan itu penting bagi membantu kementerian menjayakan aspek ekuiti apabila semua pelajar mendapat hak pendidikan yang setara tanpa jurang antara bandar mahupun luar bandar.