‘Mimpi buruk’ yang berpunca daripada salah faham

‘Mimpi buruk’ yang berpunca daripada salah faham

Dua remaja yang meninggalkan rumah kebajikan dan mendakwa didera sudah kembali ke rumah berkenaan.

The Good Shepherd Family Home, di Buntong, Ipoh.
IPOH:
Kisah rumah kebajikan yang menjadi ‘igauan’ akibat dakwaan penghuninya didera didapati tidak benar dan dua remaja perempuan yang membuat dakwaan itu kini sudah kembali ke rumah itu.

Bercakap kepada FMT, pengerusi Good Shepherd Family Home Jennifer Arokiam berkata dakwaan dua penghuninya Diana, 19, dan Dorothy, 15, mereka dihantar untuk tinggal di sebuah pondok buruk bersama ‘lelaki pelik’ timbul daripada satu salah faham.

Katanya pihaknya mengalu alukan sebarang siasatan kerana “tiada apa yang mahu kami sembunyikan”.

“Tidak ada apa yang kami mahu sembunyikan, orang ramai bebas untuk menyiasat dan tahu cerita sebenar. Apa yang berlaku ialah satu salah faham,” kata Jennifer yang sudah 11 tahun mengendalikan rumah berkenaan.

Jumaat lalu, Diana memberitahu FMT beliau dan Dorothy dihantar ke rumah bapa mereka iaitu sebuah ‘pondok buruk’ di Batu Gajah.

Menurut mereka ada botol arak yang kosong di lantai rumah itu dan hari berikutnya mereka melarikan diri meminta pertolongan Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan atau NGO. Mereka juga membuat laporan polis.

Pengerusi Good Shepherd Family Home Jennifer Arokiam

Jennifer bagaimanapun berkata kedua-dua budak perempuan itu kini sudah pulang ke Good Shepherd Family Home dan menyesali perbuatan mereka.

Beliau mengakui menghantar kedua-dua remaja itu berjumpa dengan bapa kandungan mereka di Batu Gajah tetapi apabila melihat bapa mereka dalam keadaan mabuk, beliau terus membawa dua beradik itu pulang ke rumah kebajikannya di Buntong.

“Saya kemudian membuat laporan polis demi keselamatan mereka. Mereka tidak pulang ke Ipoh sendirian, sebaliknya dibawa dengan kenderaan kami. Keesokan hari mereka melarikan diri (untuk meminta pertolongan PHIM)”.

Jennifer juga menjawab dakwaan pihaknya memotong rambut seorang anak Sikh, Elvina Kaur, berusia 14 tahun.

“Saya sudah menjelaskan. Elvina kurang upaya pembelajaran dan tidak mampu menguruskan diri dengan baik. Beliau nampak normal tetapi tidak boleh menguruskan diri seperti anak anak lain. Ini bagaimanapun tidak dimaklumkan kepada NGO maka timbul salah faham”.

Beliau sudah membuat laporan polis mengenai perkara ini serta terhadap PHIM dan kenyataannya sudah diambil.

Jennifer juga menafikan tuduhan penderaan atau percubaan membawa kanak-kanak memeluk agama Kristian.

M Manimaran, Presiden Persatuan Harapan India Malaysia.

Ketika dihubungi presiden PHIM, M Manimaran mengakui kedua-dua budak perempuan terbabit sudah kembali ke Good Shepherd Family Home tanpa paksaan dan rumah itu ada membuat aduan polis terhadapnya.

“Apabila kedua-dua pihak buat laporan polis, tiada apa yang boleh dikatakan, kami serahkan kepada polis untuk menyiasat”.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak Wan Norashikin Wan Nordin berkata pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah melawat rumah berkenaan dan mendapati kanak-kanak di situ dijaga dengan baik dan tidak ada tanda tanda berlakunya penderaan.

Kata beliau, sijil akaun pendaftaran rumah berkenaan sudah tamat tempoh dan perubahan pihak pengurusan telah mengakibatkan permohonan pembaharuan tergendala.

“Jabatan Kebajikan sedang melengkapkan siasatan sebelum mengeluarkan satu set yang terperinci mengandungi cadangan untuk memperbaiki keadaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.