Menteri nafi dakwaan Tajuddin hanya 10% pemegang AP daging terdiri syarikat Bumiputera.

Menteri nafi dakwaan Tajuddin hanya 10% pemegang AP daging terdiri syarikat Bumiputera.

Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan media baru-baru ini berkata hanya 10% pemegang AP daging terdiri daripada syarikat Bumiputera.

Antara pemegang permit import (AP) daging syarikat Bumiputera ialah Ramly Food Processing Sdn Bhd dan Darabif Meat Company yang berkeupayaan mengimport daging dalam jumlah besar.
KUALA LANGAT:
Sebanyak 60% daripada jumlah keseluruhan pemegang permit import (AP) daging terdiri daripada syarikat dimiliki oleh golongan Bumiputera, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Ronald Kiandee.

Beliau berkata, antara pemegang AP daging syarikat Bumiputera ialah Ramly Food Processing Sdn Bhd dan Darabif Meat Company yang berkeupayaan mengimport daging dalam jumlah besar.

“Daripada segi jumlah daging yang diimport, ia bergantung kepada keupayaan syarikat berkenaan. Dua syarikat ini berupaya mengimport daging dalam kuantiti yang besar dan mampu bersaing dengan syarikat bukan Bumiputera,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke pusat pengumpulan hasil tanaman Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, Tajuddin Abdul Rahman yang dilaporkan media baru-baru ini mengatakan hanya 10% pemegang AP daging terdiri daripada syarikat Bumiputera.

Sementara itu, mengulas mengenai syarikat pemegang AP disenarai hitam kerana melanggar syarat, Kiandee berkata pihaknya masih menunggu hasil siasatan daripada agensi berkaitan.

“Kita masih menunggu hasil siasatan. Kes berkaitan AP daging ini sedang disiasat oleh beberapa agensi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, kastam serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Jika terdapat pelanggaran syarat AP ini, MAFI akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Baru-baru ini, MAFI dilaporkan sedia membatalkan AP syarikat yang didapati terlibat dalam kartel pengedaran daging sejuk beku tanpa sijil halal dan tidak akan bertolak ansur jika ada kakitangan kementerian itu terbabit dalam isu berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.