Mengapa perlu kontrak sosial baru, soal ahli akademik

Mengapa perlu kontrak sosial baru, soal ahli akademik

Chandra Muzaffar dan Denison Jayasooria percaya Perlembagaan dan Rukun Negara sudah cukup untuk mentakrifkan semula masa depan Malaysia.

Chandra Muzaffar dan Denison Jayasooria berpendapat prinsip dan tujuan Rukun Negara serta Perlembagaan paling utama.
PETALING JAYA:
Dua ahli akademik berkata, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara – dua dokumen paling asas di Malaysia – sudah cukup untuk meletakkan asas untuk mentakrifkan semula masa depan negara.

Chandra Muzaffar dan Denison Jayasooria berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Kebangsaan (NCC) yang baru untuk mengatur perjalanan negara melalui kontrak sosial baharu.

Tokoh perbankan terkemuka Nazir Razak, anak kepada perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein, baru-baru ini mencadangkan agar kontrak sosial baharu dibuat.

Bagaimanapun, Chandra, seorang ahli sains politik dan aktivis sosial berkata, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah dokumen yang sangat baik yang menyediakan “tapak” untuk memperkukuhkan perpaduan antara rakyat dan mengatasi cabaran-cabaran besar.

“Satu-satunya masalah adalah kita perlu ikhlas dan jujur dalam berusaha memberi makna kepada kedua-dua dokumen ini. Perlembagaan sudah cukup seimbang dari segi mengiktiraf hak, aspirasi dan sebagainya.

“Walaupun Islam adalah agama rasmi persekutuan di bawah Perlembagaan, kebebasan beragama untuk agama lain juga dijamin. Jadi ada keseimbangan yang realistik dan berdasarkan realiti masyarakat kita,” katanya.

Katanya kepada FMT, kita sering lupa bahawa Rukun Negara menjangkaui lima prinsip utamanya kerana juga menggariskan lima aspirasi asas negara, termasuk mencapai perpaduan, memelihara cara hidup berdemokrasi dan membangunkan masyarakat yang progresif.

“Ia adalah dokumen berpandangan jauh yang membincangkan cita-cita universal, masyarakat yang adil dan berdemokrasi. Pada masa sama, ia mengiktiraf perkara-perkara yang menjadi sebahagian daripada nusa bangsa, seperti kedudukan Raja di negara kita.

“Tetapi anda akan dapati kita memberi penekanan terhadap lima prinsip, bukan lima tujuan – cara yang salah kerana ia mesti dilihat dari segi keseluruhannya,” katanya.

Walaupun dokumen-dokumen itu tidak sempurna, Chandra berkata ia adalah kerangka yang baik untuk mengatasi ketidakbahagiaan pelbagai komuniti, sambil menambah, perbahasan dan perbincangan lanjut tidak akan menghasilkan banyak perbezaan.

“Kita tidak boleh lari daripada menyeimbangkan kepentingan yang berbeza dan mencapai apa yang mampu dicapai. Tidak ada satu komuniti pun yang akan dapat segalanya. Itulah yang akan berlaku,” tambahnya.

Kurangnya kemahuan politik

Jayasooria, seorang ahli sosiologi dan felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata isu utama adalah kurangnya kemahuan politik untuk mengikuti kedua-dua dokumen tersebut, tetapi menambah, perlu ada pendekatan “seluruh masyarakat” untuknya.

Katanya kepada FMT, Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC), yang ditubuhkan pada tahun 2013 tetapi kini tidak berfungsi, juga telah banyak bekerja pada waktu itu, tetapi terbantut apabila kerajaan semasa gagal melaksanakan saranannya.

“Kaji semula laporan NUCC, lihat semula saranannya dan laksanakannya sebagai pelan yang jelas dan boleh diambil tindakan oleh kerajaan, bukan hanya oleh kementerian perpaduan negara,” kata Jayasooria, yang juga anggota sekretariat NUCC.

Nazir pernah berbicara tentang perlunya peninjauan semula “kontrak sosial tersirat”, mengulangi seruannya untuk mewujudkan sebuah NCC bagi menyatukan pemimpin dalam bidang masing-masing untuk membina jalan baru demi masa depan negara.

Bekas pengerusi CIMB Group itu berkata, sukar untuk menangani perpaduan sosial dengan sendirinya kerana ia berkaitan dengan politik dan ekonomi, selain menambah, reformasi yang paling tidak berbahaya sekalipun mampu pantas boleh dijadikan isu bangsa dan dibangkang.

Perangai tidak senonoh di Parlimen

Chandra dan Jayasooria berkata, satu bidang utama yang perlu diberi perhatian adalah ucapan dan tingkah laku ahli politik di dalam dan di luar Parlimen, sambil mengkritik kedua-dua belah pihak atas perangai mereka yang tidak senonoh.

Chandra menekankan bahawa “kesopanan dan kesusilaan” adalah prinsip kelima dalam Rukun Negara, dan mengingatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bahawa perdebatan sopan dan matang adalah lebih baik.

“Sekiranya ahli politik dapat mematuhi prinsip dan tujuan Rukun Negara serta prinsip asas Perlembagaan, kita akan menjadi lebih baik. Ia tidak akan memperbaiki segalanya, tetapi akan sangat membantu. Kadang-kadang mereka tidak dapat pun mematuhi perkara asas seperti kesopanan,” katanya.

Jayasooria berkata, Parlimen harus menubuhkan sebuah kumpulan untuk memantau tingkah laku Ahli Parlimen, melaporkan kepada jawatankuasa parlimen yang bipartisan khas supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

“Parlimen mesti memperkenalkan kursus orientasi baru untuk semua ahlinya mengenai ucapan dan tingkah laku dalam Parlimen, dengan fokus kepada perpaduan kebangsaan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.