Kerajaan timbang beri pelajar Sabah bantuan gajet, kata Hajiji

Kerajaan timbang beri pelajar Sabah bantuan gajet, kata Hajiji

Kerajaan sedang berusaha menyelesaikan masalah komunikasi digital di Sabah dengan menaik taraf lebih 2,000 menara telekomunikasi dan akan membina 400 menara baru.

Hajiji Noor (kiri) bersama Timbalan Ketua Menterinya, Jeffrey Kitingan meninjau keadaan Jalan Penampang-Tambunan di KM44.7 yang runtuh akibat hujan berterusan baru-baru ini. (Gambar JKM)
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi bantuan kemudahan pelajaran, termasuk gajet kepada pelajar kurang berkemampuan.

Katanya, kerajaan memahami dan sedar ada pelajar menghadapi kesukaran, terutama ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Perkara ini kita akan pertimbangkan, iaitu usaha memberi kemudahan seperti gajet kepada murid sekolah kerana saya faham murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan menghadapi masalah ini,” katanya selepas meninjau keadaan Jalan Penampang-Tambunan di KM44.7 yang runtuh akibat hujan berterusan baru-baru ini.

Pada masa sama, Hajiji berkata, kerajaan sedang berusaha menyelesaikan masalah komunikasi digital di Sabah dengan menaik taraf lebih 2,000 menara telekomunikasi sedia ada dan akan membina 400 menara baru.

Katanya, projek bernilai RM2.5 bilion itu mula dilaksanakan tahun ini di bawah program Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan dijangka siap dalam dua tahun.

“Kerajaan faham keperluan rakyat atau murid yang tinggal di luar bandar, lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP ini dan murid pula terpaksa belajar dari rumah menerusi sidang video dan sebagainya.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah ini dan insya Allah tidak lama lagi kita akan dapat menikmati satu keadaan lebih baik apabila komunikasi digital dipertingkatkan nanti.”

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha menaik taraf dan membina menara sedikit terjejas berikutan penularan Covid-19 ketika ini.

“Memang usaha ini (naik taraf dan pembinaan menara telekomunikasi) sedikit terjejas kerana banyak pergerakan yang tidak dapat dilakukan ketika PKP ini, kita tidak dapat laksanakan projek dan perniagaan tertentu.

“Kita harus faham dengan keadaan penularan Covid-19 ini, kerajaan juga perlu menjaga keselamatan dan ekonomi rakyat. Namun saya yakin, selepas PKP ini ditukar kepada PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat) nanti, pelaksanaannya akan berjalan lancar.”

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM150 juta bagi membaiki dan membina jalan serta jambatan rosak akibat hujan berterusan baru-baru ini.

Katanya, sebanyak RM135 juga akan dibelanjakan bagi membaiki dan mengganti kerosakan harta awam akibat bencana itu.

“Ini satu peruntukan besar, tetapi kita berkemampuan dan kita juga akan merujuk kepada kerajaan persekutuan agar mereka membantu kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.