
Teo Nie Ching berkata, tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) yang seolah “tidak berfikir panjang” itu jelas kelihatan berdasarkan perancangannya yang mengarahkan sekolah dibuka semula sekarang walaupun November lalu sekolah di seluruh negara diarah tutup.
“November lalu, jumlah kes aktif berjumlah 11,689. Sehingga semalam, jumlah itu adalah 41,976,” katanya.
Teo turut mempersoalkan kesediaan KPM dalam menyediakan keperluan pendidikan semua pelajar.
“Walaupun pelajar boleh memilih untuk tidak kembali ke sekolah, pembelajaran dalam talian bukanlah suatu pilihan yang sedia ada. Jadi, pilihan apa yang sebenarnya ada untuk calon SPM dan STPM?,” katanya.
Katanya, kementerian seharusnya sedar bahawa pendekatan ‘one-size-fits-all’ bukan penyelesaian yang menyeluruh memandangkan keperluan mengikut wilayah yang berbeza di seluruh negara.
“Kembali ke sekolah mungkin pilihan yang baik buat pelajar yang mempunyai akses terhad untuk pembelajaran dalam talian,” katanya. Tetapi ibu bapa dan pelajar yang bimbang dengan wabak Covid-19 mungkin lebih suka meneruskan pembelajaran dalam talian.”
Oleh kerana KPM tidak mungkin membatalkan SPM dan STPM tahun ini, Teo mencadangkan kementerian itu menawarkan pelajaran ulangkaji intensif untuk calon.
“Selain menyediakan kelas fizikal, KPM juga harus mengumpulkan guru terbaik, rakam subjek matapelajaran mereka, masukkan ke dalam talian, dan siarkan melalui saluran TV pendidikan percuma.”
Teo turut mendesak KPM bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mewujudkan saluran pendidikan buat pelajar yang menduduki peperiksaan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut mencadangkan penggunaan televisyen pendidikan sebagai alternatif pembelajaran dalam talian.
“Kita harus akur bahawa pendidikan adalah jauh lebih penting dari hiburan,” katanya pada 18 Jan lalu.
Katanya, penyiar swasta juga seharusnya membantu usaha ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.