4,076 sembuh atasi 3,585 kes baru Covid-19

4,076 sembuh atasi 3,585 kes baru Covid-19

Jumlah kematian mencecah 700 orang setakat ini.

PETALING JAYA:
Seramai 4,076 pesakit sembuh berbanding 3,585 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini adalah hari keempat berturut-turut jumlah kes pulih mengatasi kes baru, menjadikan semuanya 149,160 pesakit sembuh daripada keseluruhan 190,434 kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kematian kini meningkat kepada 700 orang, selepas 11 lagi kematian dilaporkan hari ini.

Katanya, 10 kematian itu membabitkan warganegara dan seorang warga asing yang berusia 42 hingga 92 tahun, di mana lapan daripadanya mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kronik.

Beliau berkata, dua daripadanya hanya dikesan positif Covid-19 selepas mereka meninggal dunia dan dibawa ke hospital.

Sebanyak empat kematian dicatatkan di Kuala Lumpur, tiga dari Sarawak dan masing-masing satu kematian di Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Terdapat 40,574 kes aktif dengan 111 daripada 280 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Hisham berkata, sebanyak 3,583 kes baru membabitkan penularan tempatan dan dua kes import.

Beliau berkata, Selangor melaporkan kes baru tertinggi sebanyak 1,295 kes, di mana 948 kes itu dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat.

Ia diikuti Kuala Lumpur yang mencatatkan 610 kes, Johor (516), Sabah (303), Sarawak (205), Negeri Sembilan (129), Pulau Pinang (104), Melaka (92), Kedah (88), Kelantan (76), Terengganu (76), Perak (58), Pahang (15), Putrajaya (15), Perlis (2) dan Labuan (1).

Katanya, 59 kes baru (1.6%) berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara, iaitu kluster Penjara Jalan Harapan (24), Tembok Renggam (12), Tembok Bukit Besi (7), Tembok Sungai Udang (6), Tembok Kemus (4), Penjara Seberang Perai (3), Tembok Taiping (1), Tembok Mempaga (1) dan Telok Mas (1).

Sementara itu, Hisham berkata, 129 daripada 210 hospital swasta berlesen akan membantu meringankan beban hospital kerajaan.

Katanya, 96 daripada 129 hospital itu menyediakan 1,252 katil, 65 katil ICU dan 54 mesin ventilator untuk merawat pesakit Covid-19, manakala hospital lain akan menawarkan perkhidmatan pesakit dalam untuk bidang perubatan dalaman.

“Pendekatan utama adalah meletakkan hospital awam (hospital di bawah KKM, hospital universiti awam dan hospital angkatan tentera) serta hospital swasta di bawah pengoperasian secara hibrid, berdasarkan konsep hospital kluster di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu.

“Hospital kluster ini akan beroperasi untuk merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 mengikut arahan KKM.”

Beliau berkata, kerajaan akan mengoptimakan kapasiti makmal sedia ada, terutamanya di jabatan kerajaan dan universiti awam untuk pengujian dan pengesanan Covid-19 berskala besar.

Katanya, bangunan kerajaan yang sesuai akan dijadikan pusat pengambilan ujian swab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.