Pertingkat kempen kesedaran cegah sumbang mahram, penderaan kanak-kanak, kata aktivis

Pertingkat kempen kesedaran cegah sumbang mahram, penderaan kanak-kanak, kata aktivis

Persatuan Kebajikan Suriana berkata belum wujud mekanisme tambahan sejak pelaksanaan perintah sekatan sebelum ini.

Aktivis berkata, sumbang mahram sering berlaku secara tertutup, justeru jiran tetangga dan masyarakat perlu berganding bahu untuk mengenal pasti dan melaporkan kejadian tersebut.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis menggesa lebih banyak kempen kesedaran berhubung isu penderaan kanak-kanak diadakan berikutan peningkatan kes sumbang mahram dan penderaan yang dilaporkan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

James Nayagam daripada Persatuan Kebajikan Suriana berkata, belum wujud mekanisme tambahan sejak pelaksanaan perintah sekatan itu tahun lalu.

James berkata, kempen kesedaran media mesti mensasarkan kumpulan yang tepat, terutama golongan ibu.

“Kita boleh mendidik anak-anak, tetapi kesedaran dilahirkan dalam kalangan ibu dan kita juga perlu memberi jaminan bahawa mereka selamat,” katanya.

Katanya, ibu yang bergantung kepada suami atau teman lelaki baharu untuk makanan dan tempat tinggal lebih cenderung menyembunyikan insiden penderaan anak kerana takut dihalau.

James Nayagam.

Baru-baru ini polis dilaporkan menerima lebih banyak laporan berhubung kanak-kanak di bawah umur yang dirogol oleh ahli keluarga mereka yang lebih tua semasa PKP.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan berkata, pada masa seperti ini ahli keluarga yang dipercayai boleh memerhatikan perubahan tingkah laku mangsa.

Siti juga berkata kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak yang didera buat pertama kalinya dalam tempoh lima ke enam tahun lalu.

Beliau berkata, kebanyakan pesalah merupakan bapa kandung dan mangsa tidak tahu apa-apa mengenai seks dan tidak menyedari bahawa perkara yang dilakukan terhadap mereka adalah jenayah.

Nayagam berkata, sumbang mahram sering berlaku secara tertutup, justeru jiran tetangga dan masyarakat perlu berganding bahu untuk mengenal pasti dan melaporkan kejadian tersebut.

Beliau juga menggesa penubuhan pusat komuniti dalam kawasan kejiranan yang boleh mengawasi kemungkinan berlakunya penderaan dalam komuniti terbabit.

Katanya, sebuah pusat yang dimulakan beliau tiga tahun lalu di PPR Desa Mentari sangat berkesan dan penduduk kini menjadi mata dan telinga komuniti itu.

Nayagam juga menyarankan supaya jiran mengenal pasti petanda tertentu yang mungkin menunjukkan ahli keluarga tertentu terlibat dalam sumbang mahram atau penderaan kanak-kanak.

Mangsa biasanya sangat pendiam dan pemalu, atau enggan bercakap dengan orang lain.

“Mereka juga boleh mengesan bunyi yang mencurigakan dari rumah jiran mereka,” katanya.

Tambahnya, pelaku mungkin bersikap tidak ramah sama sekali.

Jiran juga perlu mengambil serius berhubung aduan yang diterima.

“Sebilangan besar kes yang saya temui, keluarga terbabit biasanya tidak aktif secara sosial.

“Mereka sangat pendiam dan tertutup kerana diberi amaran supaya tidak bercakap dengan orang lain,” tambahnya.

“Biasanya kanak-kanak bersikap terbuka dan bergaul dengan keluarga lain serta berbual dan sebagainya. Tetapi apabila sesebuah keluarga itu tertutup, maka ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.