
Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) berkata, mesyuarat itu tidak menyebut sekatan ketat akan terus dilaksanakan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang berakhir.
Pengerusi EuroCham Malaysia Oliver Roche berkata, komuniti perniagaan mesti mengambil langkah untuk mengelak satu lagi PKP penuh, dengan berusaha memastikan pematuhan penuh protokol kesihatan dan kebersihan, kerana kebanyakan kluster Covid-19 dikaitkan dengan kilang, tapak pembinaan dan tempat kerja lain.
Kenyataan EuroCham petang ini susulan kontroversi berhubung surat kepada ahlinya mengandungi butiran mesyuarat dengan MITI itu.
Menurut surat itu, kerajaan Malaysia akan mengumumkan penutupan penuh/ketat serta-merta selepas 4 Feb jika jangkitan Covid-19 tidak berkurangan ketika itu.
Bagaimanapun, EuroCham berkata surat itu adalah pekeliling dalaman sulit yang diedarkan “untuk menyampaikan inti pati perbincangan tidak formal itu – dan usaha terpuji kerajaan Malaysia dalam mengekang penularan Covid-19.”
“EuroCham ingin menjelaskan, walaupun MITI menggariskan keadaan membabitkan Covid-19 memerlukan tindakan memandangkan jumlah kes yang meningkat, tidak disebut mengenai sekatan penuh segera selepas 4 Feb 2021.”
EuroCham berkata, mesyuarat dengan MITI Jumaat lalu sekadar perbincangan tidak formal untuk menimbulkan kesedaran mengenai peranan komuniti perniagaan dalam melandaikan lengkung Covid-19.
Ada juga perbincangan mengenai “kesan ekonomi yang menyusul jika kita tidak memainkan peranan aktif, dan hanya mengharap kerajaan melakukan semua usaha,” kata EuroCham.
Terdahulu, Ketua Eksekutif EuroCham Sven Schneider dikritik berhubung kebocoran maklumat kemungkinan sekatan penuh diadakan.
Bekas timbalan pengerusi dewan perniagaan itu, Geoffrey Williams menyuarakan rasa terkejut apabila butiran mesyuarat dengan MITI diketahui umum dan menganggap tidak wajar untuk Schneider melanggar kerahsiaan pertemuan tertutup.”
Willilams berkata, kebocoran maklumat itu akan mengakibatkan spekulasi dan kekeliruan “ketika tempoh amat sensitif yang memerlukan ketenangan.”