
Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, pihaknya mengakui mungkin berlaku kesilapan kerana terdapat dua air terjun bersebelahan di kawasan itu sebagaimana didakwa penduduk setempat.
“Untuk mengatakan ia hanya alur air yang muncul selepas hujan adalah tidak munasabah kerana air di kawasan itu tetap mengalir walaupun ketika musim kering. Kawasan berair juga bertingkat.
“Orang kampung memanggil kawasan itu Tanjung Batu, tetapi ada juga yang memanggilnya Teluk Sera. Ada kekeliruan melibatkan aktivis alam sekitar dan penduduk kampung, gambar tersebar juga adalah di lokasi yang tidak terjejas.
“Di kawasan yang dilawati media memang berlaku kemusnahan teruk dan ia diakui sendiri oleh JAS (Jabatan Alam Sekitar). Ia (JAS) juga memaklumkan terdapat enam perkara yang tidak mematuhi Laporan Penilaian Kesan Alam (EIA) oleh kontraktor terbabit,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, ketidakpatuhan mungkin menjadi lebih buruk jika pemeriksaan lanjut dijalankan di kawasan itu.
“Untuk berkata kawasan air terjun itu tidak terjejas juga tidak logik kerana kami ada rekod dan pernah membuat laporan pada 2017 berhubung kerosakan yang berlaku di kawasan itu.
“Mungkin Exco dan KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) tiada maklumat, tetapi mereka boleh memeriksa perkara itu melalui agensi berkaitan,” katanya.
Semalam, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamaruddin dalam kenyataan berkata, air terjun Tanjung Batu Teluk Sera di Segari, Beruas masih terpelihara dan tidak terjejas kerana ia bukan sebahagian daripada tapak kuari di Hutan Simpan Segari Melintang.
Akmal dilaporkan berkata, gambar tular menunjukkan air terjun itu terjejas, sebenarnya adalah alur air bermusim yang muncul, terutama selepas hujan lebat.
Katanya, alur air itu terbentuk hasil daripada takungan air setinggi 200m di kawasan yang diberi lesen di Kompartmen 16 (Blok E), Hutan Simpan Segari Melintang.
Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan negeri tidak meluluskan lesen baharu bagi aktiviti kuari berhampiran Hutan Simpan Segari Melintang yang pada ketika ini menimbulkan banyak kerosakan dan kemusnahan alam.
Pegawai lapangannya, Meor Razak Meor Abd Rahman berkata, sudah pasti ada beberapa pihak yang ketika ini memohon kebenaran atau akan memohon kebenaran untuk menjalankan aktiviti kuari di kawasan itu.
“SAM dimaklumkan sudah ada lawatan tapak dibuat di kawasan berhampiran air terjun Tanjung Batu dengan beberapa agensi teknikal kerajaan di Kompartmen 16 dan 24.
“Jika ada lawatan tapak sudah tentu ada pihak yang memohon untuk menjalankan aktiviti kuari. Adalah lebih baik dihentikan permohonan kerana kuari sedia ada sudah lebih daripada mencukupi.
“Dalam perancangan tempatan daerah pun dengan jelas sudah menyatakan tidak akan ada lagi permohonan, justeru kerajaan tidak perlu memberikan kelulusan baharu,” katanya ketika dihubungi.