
Nazlan mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah tahun lalu, menjadikan beliau bekas perdana menteri pertama yang dibicarakan dan disabitkan atas pertuduhan jenayah berhubung tindakan semasa memegang jawatan.
Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan tersebut.
Memo Majlis Peguam semalam menyebut Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed mengarahkan pertukaran Nazlan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah 3) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Sivil 2) berkuat kuasa 1 Mac.
“Ini adalah pertukaran pentadbiran yang biasa,” kata Salim kepada FMT.
“Hakim tersebut dikehendaki menyelesaikan kes yang dibicarakan sebelum tarikh pertukarannya. Kika tidak boleh, maka beliau perlu melaporkan kepada CJM (Hakim Besar Malaya) berhubung status kes yang sedang dibicarakan bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
“Jika kes sedang berjalan dan sudah didengar separuh, beliau perlu mempercepatkan perbicaraan semua kes tersebut sebelum arahan pertukaran bermula Mac ini.”
Mahkamah Tinggi belum membuat penghakiman pada 3 Feb sama ada bekas pengerusi Felda Isa Samad bersalah kerana menerima rasuah kira-kira RM3 juta susulan pembelian sebuah hotel di Kuching enam tahun lalu. Kes ini dibicarakan di hadapan Nazlan.
Nazlan pada mulanya dijadualkan mengendalikan kes pecah amanah jenayah (CBT) RM6.6 bilion terhadap Najib Razak dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah pada Sept ini.
Bagaimanapun, kes itu akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin berdasarkan surat yang diterima oleh pihak pendakwaan daripada timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi pada 7 Okt tahun lepas.
Seorang bekas hakim juga berkata, pertukaran Nazlan adalah “biasa”, dengan menyebut bahawa kadang-kadang hakim sendiri membuat permohonan sedemikian kerana mahu “bertukar pengalaman”.
“Tidak perlu perbesarkan pertukaran Nazlan,” katanya.
Sementara itu, sumber lain berkata, pertukaran Nazlan mungkin merupakan langkah untuk menaikkan pangkat beliau ke Mahkamah Rayuan.
“Ini bagi membolehkan beliau menimba pengalaman menangani kes komersial sebelum dilantik ke Mahkamah Rayuan,” katanya.
Menurut surat pekeliling di laman web Majlis Peguam, kali terakhir pertukaran seperti itu dilakukan melibatkan hakim Mahkamah Tinggi Tun Abdul Majid Hamzah yang dipindahkan dari bahagian sivil Mahkamah Tinggi Shah Alam ke bahagian rayuan dan kuasa khasnya pada 6 Jan 2020.
Tahun lepas Nazlan membicarakan kes rasuah RM1 juta membabitkan bekas menteri Tengku Adnan Mansor yang menyaksikan pihak pendakwaan membuat permohonan dibebaskan tanpa dilepaskan berikutan beberapa “perkembangan baharu”.
Dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada Apr 2015 dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada Jan 2017, Nazlan membuat penghakiman tahun lepas bahawa hakim boleh menimbangkan permohonan ikat jamin walaupun tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkait keganasan.
Penghakiman itu dilihat disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes terbaru oleh panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Dalam catatan di Facebook hari ini, Najib berkata, Nazlan “tiba-tiba dipindahkan” dari mahkamah sivil untuk mengendalikan kesnya di mahkamah jenayah oleh Hakim Besar Malaya ketika itu (Zaharah Ibrahim), yang dilantik ke jawatan itu seminggu sebelumnya.
“(Ini) walaupun kes SRC sudah berjalan dan menjadi kes jenayah pertama Mahkamah Tinggi dia,” kata Najib, merujuk kepada Nazlan.
“Sekarang dia dipindahkan semula ke mahkamah sivil.”
Kes SRC Najib pada mulanya didengar di hadapan hakim Mohd Sofian Abd Razak.
Pada 4 Jul 2018, Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah di hadapan Sofian atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Majlis Peguam sebelum ini dilaporkan menggesa Sofian berundur daripada membicarakan kes itu kerana abangnya, Mohd Soffi, memegang jawatan dalam Umno dan juga kerajaan negeri Pahang.