Maszlee bimbang ‘lambakan’ murid tercicir akibat Covid-19

Maszlee bimbang ‘lambakan’ murid tercicir akibat Covid-19

Masalah dihadapi pelajar susulan wabak Covid-19 bukan hanya tertumpu kepada isu akses pembelajaran dalam talian.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata, 36% atau 1.5 juta murid tidak mendapat akses kepada pembelajaran “online” kerana pelbagai faktor.
PETALING JAYA:
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlaku “lambakan” pelajar yang tercicir pelajaran akibat wabak Covid-19.

Katanya, masalah dihadapi pelajar bukan hanya tertumpu kepada masalah akses pembelajaran dalam talian, sebaliknya membabitkan mereka yang gagal menguasai kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Di Malaysia, 36% murid tidak dapat akses kepada pembelajaran ‘online’ kerana pelbagai faktor. Ini bersamaan dengan sekurang-kurangnya 1.5 juta murid. Daripada jumlah ini pula, muncul lagi satu isu yang amat serius, iaitu isu murid cicir akibat pandemik.

“Daripada jumlah murid cicir yang ramai dan tidak diketahui bilangan sebenarnya pula, terdapat satu lagi kelompok yang paling terkesan dan tercicir jauh dalam proses pembelajaran, iaitu kumpulan murid yang bergelut untuk menguasai kemahiran 3M – membaca, menulis dan mengira.

Maszlee Malik.

“Saya risau masalah murid cicir ini akan terus berangkai-rangkai dan berjangkit. Jika tidak ditangani sekarang, ia akan menjadi barah dalam sistem pendidikan kita dan seterusnya masyarakat,” katanya di Facebook.

Maszle berkata, sudah sampai masanya semua pihak melakukan sesuatu, termasuk membantu menyelamatkan murid tercicir akibat Covid-19.

“Saya merayu kepada guru, ibu bapa, pemimpin masyarakat, pihak pentadbir, ahli keluarga, jiran serta seluruh rakyat Malaysia bantu kami untuk bantu anak-anak ini.

“Pihak #UntukMalaysia merangka pakej intervensi bertumpu untuk selamatkan murid cicir Covid-19. Langkah pertama ialah mengenal pasti murid tercicir dan memerlukan bantuan. Ia termasuk murid tidak boleh membaca, menulis dan mengira dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuk murid tidak berkemampuan daripada golongan B40 atau kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.

Maszlee meminta orang ramai melaporkan permasalahan murid tercicir menerusi pautan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.