Pembinaan stesen Utara Woodlands bagi RTS Link bermula

Pembinaan stesen Utara Woodlands bagi RTS Link bermula

Projek itu ditangguhkan beberapa kali selepas PH menjadi kerajaan pada 2018, namun disambung semula secara rasmi pada Julai 2020.

Ilustrasi artis menggambarkan bagaimana RTS Link merentasi Selat Johor ke Utara Woodlands di Singapura. (Gambar MRT Corp)
PETALING JAYA:
Singapura memulakan kerja pembinaan stesen untuk Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) Link, yang dijangka mula beroperasi pada akhir 2026.

Channel News Asia melaporkan stesen RTS Link Utara Woodlands akan dibina di bawah tanah dengan sambungan ke bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin.

Stesen Utara Woodlands itu akan dihubungkan ke stesen Bukit Chagar di Johor melalui jalan setinggi 25m merentasi Selat Johor.

Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung menyuarakan keyakinan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat ekonomi serta sosial kepada negara itu.

“Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam sehala, RTS Link berpotensi mengurangkan ribuan motosikal dan kereta di tambak, pada masa sama menyediakan perjalanan lebih cepat dan selesa,” katanya pada upacara pecah tanah stesen itu.

Kerja pembinaan RTS Link bermula tahun lalu selepas pelancaran rasmi pada 22 Nov lalu, walaupun pada asalnya dijadualkan siap menjelang 2024.

Ia ditangguhkan beberapa kali selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada 2018, namun disambung semula secara rasmi Julai 2020.

Dibangunkan Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd, anak syarikat MRT Corp, sistem transit aliran ringan sejauh 4km itu dijangka dapat menampung sehingga 10,000 penumpang sejam pada waktu puncak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.