Lelaki ditahan baling sofa, tong gas akibat cuti tak lulus

Lelaki ditahan baling sofa, tong gas akibat cuti tak lulus

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian 1.30 pagi Jumaat di sebuah pangsapuri di Taman Melaka Baru, Batu Berendam.

Sofa dan tong gas yang dibaling suspek dari tingkat lima pangsapuri didiaminya di Taman Melaka Baru. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Beberapa kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap sofa dan tong gas yang dibaling seorang lelaki dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Batu Berendam, Melaka kerana berang permohonan cutinya tidak diluluskan majikan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Afzanizar Ahmad dipetik Utusan Malaysia berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian 1.30 pagi Jumaat di sebuah pangsapuri di Taman Melaka Baru itu.

Katanya, siasatan awal menunjukkan lelaki berusia 25 tahun itu berang kerana majikannya tidak meluluskan permohonan cutinya yang difahamkan untuk melawat bapanya yang sakit di kampung halaman.

Cermin depan sebuah kereta pecah selepas dihempap barangan yang dibaling suspek pada Jumaat. (Gambar Facebook)

“Susulan kejadian itu, kita menahannya sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya dipetik akhbar itu.

Beliau berkata, polis belum mengambil keterangan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk meneliti laporan pemilik kenderaan yang rosak dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.