Demi bangsa Melayu, Zahid wajar lepas tanggungjawab presiden, seru Umno Paya Besar

Demi bangsa Melayu, Zahid wajar lepas tanggungjawab presiden, seru Umno Paya Besar

Ketuanya, Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, arah tuju parti yang tidak jelas serta lemah ketegasan tindakan sudah meluntur daya juang dan kesungguhan ahli Umno.

PETALING JAYA:
Umno Paya Besar menyeru Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan melepaskan tanggungjawab presiden, antaranya kerana “lemah ketegasan tindakan”, di sebalik pergolakan dalam parti yang berpaksi kepada kerjasama Umno dengan PPBM.

Ketuanya, Ahmad Tajuddin Sulaiman mendedahkan lemahnya ketegasan dalam tindakan serta arah tuju parti yang tidak jelas sebenarnya meluntur daya juang dan kesungguhan ahli Umno.

“Demi bangsa Melayu, Umno, kesetiaan, kegigihan 3.6 juta ahli Umno, Zahid wajar melepaskan tanggungjawab sebagai presiden,” katanya dalam kenyataan.

Umno Paya Besar juga nampaknya tidak puas hati dengan tindak-tanduk ahli Majlis Kerja Tertinggi serta Ahli Parlimen yang tidak terarah.

Ahmad Tajuddin Sulaiman.

“Mendedahkan Umno kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang sangat diperlukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15,” katanya.

Katanya lagi, ahli Umno juga tidak dapat nampak kewajaran mendukung pemimpin yang dipecat oleh ahli Majlis Kerja Tertinggi parti, dipercayai merujuk kepada pemimpin PPBM.

“Penolakan kerja sama dengan PPBM oleh bahagian-bahagian jelas memperlihatkan ketegasan penolakan ahli Umno terhadap pimpinan kerajaan PPBM,” katanya.

Seruan ini menyusuli gesaan Pemuda Umno Pontian yang mahu Zahid berundur sebagai presiden secara terhormat ketika parti Melayu itu dilihat tidak mempunyai hala tuju yang jelas bawah kepimpinannya.

Sebelum ini juga kain rentang “Minta Presiden Undur dari Jawatan Beliau Sebagai Presiden Umno” yang digantung di sekitar Shah Alam menimbulkan kekecohan.

Sementara itu, Umno Paya Besar dalam tuntutannya turut menarik perhatian kepada pendakwaan salah laku yang dihadapi pemimpin parti.

“Kesan langsung pendakwaan salah laku terhadap pimpinan Umno membawa beban berat kebangkitan semula Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.