
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, perniagaan seperti pusat hiburan, kelab malam dan premis lain yang beroperasi melebihi waktu dibenarkan, nampaknya mengambil ringan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342.
Oleh itu, katanya, di bawah darurat, ordinan boleh diluluskan untuk membenarkan denda lebih berat dan hukuman penjara lebih lama bagi individu serta perniagaan.
Beliau berkata, bersama penalti lebih berat, pihak berkuasa juga boleh mengambil tindakan lebih tegas terhadap majikan yang enggan menghantar pekerja mereka disaring atau gagal menyediakan perumahan dan penginapan kondusif serta mencukupi bagi pekerja di bawah Akta 466.
“Sekarang dalam keadaan darurat, ordinan boleh digubal. Kita telah minta Jabatan Peguam Negara lihat perkara ini.
“Saya percaya sebaik saja Jabatan Peguam Negara luluskan, kita boleh melaksanakannya dengan segera. Oleh itu, rakyat harus patuh kepada SOP, jangan tunggu tindakan diambil.”
Sementara itu, Ismail berkata, 577 orang ditahan semalam kerana mengingkari arahan PKP, dengan 545 daripadanya dikompaun dan baki 32 lagi direman.
Katanya, 12 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan lima kenderaan disita menerusi Operasi Benteng.