MDEC terus pikat bakat berprestasi tinggi

MDEC terus pikat bakat berprestasi tinggi

Mereka antaranya eksekutif IBM, Microsoft, Celcom dan Touch 'n Go.

MDEC berkata ia bertindak menyerap bakat dan teknokrat yang berfokus industri.
PETALING JAYA:
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata pihaknya terus berusaha menarik bakat berprestasi tinggi melalui misi “mencipta semula”.

Katanya, rekrut baharu itu masuk untuk mencipta semula dan mentransformasi MDEC supaya dapat berkhidmat kepada masyarakat dengan “peningkatan ketelusan, akauntabiliti dan integriti”.

“MDEC menyedari dan telah mengambil tindakan menyerap bakat dan teknokrat yang berfokus industri untuk membantu Malaysia membuat lonjakan digital ke arah 4IR menuju visi Malaysia 5.0 demi manfaat sejagat,” kata Pengerusi Rais Hussin dalam kenyataan.

Ini susulan dakwaan baru-baru ini, 16 eksekutif tertinggi MDEC mengundurkan diri daripada agensi itu namaun ia dinafikan Rais.

Pengerusi MDEC Rais Hussin.

Semalam, beliau memberitahu FMT walaupun ada yang sudah meletak jawatan, ia bukanlah secara en bloc. Mereka meletak jawatan pada tarikh yang berbeza atas alasan berbeza, kata Rais.

Dalam kenyataan hari ini, MDEC juga menyenaraikan nama dan jawatan lapan eksekutif kanan yang meninggalkan atau dijadualkan meninggalkan agensi itu.

Tiga daripada mereka, termasuk bekas ketua pegawai operasi Ng Wan Peng, mengundurkan diri pada akhir Disember. Dua lagi meninggalkan MDEC pada Oktober, sementara tiga peletakan jawatan selebihnya berkuat kuasa tahun ini – dua bulan ini dan satu lagi pada bulan depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Surina Shukri berkata, mereka yakin bahawa pasukan kepimpinan barunya akan merealisasikan visi yang mengutamakan masyarakat dalam era Revolusi Industri ke-4.

Katanya, MDEC jelas mengenai objektifnya untuk mengembangkan ekonomi digital dan mengemudi gangguan dan peluang yang belum pernah terjadi, dalam norma baharu.

“Kami tidak akan teralih perhatian daripada misi kami dan saya menegaskan kembali hubungan kerja rapat dan kolaboratif antara kepemimpinan eksekutif dengan pengerusi kami dan lembaga pengarah untuk mereka semula MDEC secara holistik untuk masa depan,” kata Surina.

“Di kala kami menginstitusikan cadangan-cadangan daripada kajian semula pentadbiran holistik dan menentu ukur kebolehan dan kemampuan kami untuk melaksanakan misi ‘mencipta semula’, MDEC melihat pergerakan di semua tahap – ini adalah dijangka dan mempunyai alasan yang kukuh.”

MDEC berkata, antara pengambilan baharunya termasuk eksekutif daripada sektor swasta seperti IBM, Microsoft, Celcom, Touch ‘n Go, Astro, Edelman, syarikat permulaan teknologi, Pemandu Associates, dan Media Prima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.