Kenapa tak kritik 7 negeri tanpa Thaipusam, soal pembantu MB

Kenapa tak kritik 7 negeri tanpa Thaipusam, soal pembantu MB

Setiausaha politik Sanusi berkata, Kedah memilih tidak mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa tahun ini atas faktor kesihatan dan PKP.

Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, jumlah cuti peristiwa yang diluluskan negeri ‘terhad’ dan terpulang kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri untuk meluluskannya. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Seorang pembantu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mempertikaikan kenapa pengkritik keputusan negeri itu tidak mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa tahun ini, tidak menyasarkan tujuh negeri lain yang belum menjadikan perayaan itu sebagai cuti peristiwa.

Setiausaha Politik Sanusi, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pengkritik gagal memahami Kedah membuat keputusan itu atas faktor kesihatan awam dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Maka semua perayaan tidak disambut, termasuk CNY (Tahun Baru Cina). Hari raya puasa pun belum tentu dapat disambut, jika PKP masih dilaksanakan.

“Cuti peristiwa tak diberi kerana memang rakyat sudah ‘bercuti’ apabila kebanyakan mereka bekerja dari rumah ketika PKP. Ada sebilangan yang bekerja di tempat kerja, terutamanya kumpulan ‘frontliner’.

“Soalnya, kenapa pihak itu tidak serang kerajaan negeri Pahang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Melaka, Sabah dan Sarawak (kerana tidak menyenaraikan Thaipusam sebagai cuti peristiwa)?” soal Afnan.

Katanya, jumlah cuti peristiwa yang diluluskan negeri “terhad” dan terpulang kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri untuk meluluskannya.

Beliau mengulangi kerajaan Kedah tidak mendiskriminasi penganut Hindu.

Beliau turut mempersoalkan kenapa kritikan tidak timbul pada zaman pentadbiran Barisan Nasional yang tidak mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa.

Afnan berkata, kaum India di Kedah terdiri daripada 6.8% dan penganut Hindu boleh menyambut Thaipusam di rumah serta menyertai upacara sembahyang di kuil berdasarkan SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Sanusi dikritik M Saravanan daripada MIC dan P Ramasamy daripada DAP selepas mengumumkan cuti untuk sambutan perayaan Thaipusam dibatalkan kerana pelaksanaan PKP.

Thaipusam jatuh pada 28 Jan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.