Akan buat yang terbaik bantu pelajar positif di PKRC, kata pengarah pendidikan Sabah

Akan buat yang terbaik bantu pelajar positif di PKRC, kata pengarah pendidikan Sabah

Jabatan Pendidikan Sabah menyediakan bimbingan SPM dan STPM atas talian bagi memastikan pelajar yang menjalani rawatan di PKRC tidak ketinggalan.

36 pelajar SPM dan STPM di Sabah disahkan positif Covid-19 dan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah untuk rawatan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata, pihaknya akan melakukan sebaik mungkin untuk membantu pelajar Sijil Penilaian Malaysia (SPM) dan Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM) yang kini dikuarantin selepas disahkan positif Covid-19.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menyediakan kaedah bimbingan SPM dan STPM atas talian bagi memastikan pelajar yang menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

“Pada dasarnya, kami menyediakan kaedah bimbingan SPM dan STPM dalam bentuk ‘online’ serta bahan bercetak untuk pelajar yang dikuarantin.

“Bagaimanapun, kami perlu mendapat nasihat Pejabat Kesihatan Daerah serta pihak berkaitan berhubung prosedur pelaksanaannya,” katanya kepada FMT.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin.

Mistirine berkata, kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun, yang memberitahu bahawa semua PKRC di Sabah disediakan kemudahan internet juga memudahkan lagi tugas mereka.

“Kami cuba yang terbaik untuk murid-murid ini, tetapi peraturan pusat kuarantin perlu juga dipatuhi. Justeru perbincangan perlu dibuat, bak kata pepatah, masuk rumah orang perlu ketuk pintu,” katanya.

Terdahulu, Masidi dalam sidang medianya berkata, 36 pelajar SPM dan STPM disahkan positif Covid-19 dan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) .

Katanya, semua kes itu dikesan menerusi ujian saringan sebelum pelajar berkenaan masuk ke asrama sekolah masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.