Sekolah dibuka, pelajar resah hadapi SPM bulan depan

Sekolah dibuka, pelajar resah hadapi SPM bulan depan

Sebilangan pelajar berkata mereka tidak bersedia untuk menduduki peperiksaan, namun yang lain gembira dapat kembali ke sekolah.

Seorang guru menunggu untuk menyemburkan cecair pembersih tangan ketika pelajar memasuki premis sekolah hari ini, setelah lebih dua bulan tanpa kelas.
PETALING JAYA:
Ribuan pelajar Tingkatan 5 kembali ke sekolah hari ini untuk kali pertama selepas lebih dua bulan, dengan banyak mempunyai perasaan bercampur-baur ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.

Arahan kembali ke sekolah itu di sebalik lonjakan kes Covid-19, yang kira-kira tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kes harian dilaporkan ketika sekolah terpaksa ditutup pada 9 Nov tahun lalu.

Arahan itu dikeluarkan walaupun banyak negeri dan semua wilayah persekutuan kini bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru.

Dalam tinjauan FMT di sekolah-sekolah di Lembah Klang, Sabah, dan Sarawak, didapati semua berjalan lancar, dengan pelajar mematuhi SOP yang ketat, termasuk memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu, pendaftaran MySejahtera, dan jarak fizikal.

Pelajar tingkatan 5 to SMK Damansara Utama di Selangor hari ini kembali ke sekolah walaupun negara bawah PKP.

Kebanyakan pelajar menunjukkan rasa lega apabila dapat kembali ke sekolah berikutan kesukaran mengikuti pembelajaran dalam talian. Mereka mendakwa kelas dalam talian yang tidak mencukupi itu membuatkan mereka rasa tidak bersedia untuk peperiksaan.

Harris Mohd Jaffri, dari SMK Bandar Puchong Jaya (A), berkata pembelajaran dalam talian “tidak begitu mudah” susulan tiada waktu yang tetap untuk kelas.

“Ada banyak bahan (pelajaran) yang belum saya habiskan,” katanya, dan menambah beliau setuju dengan seruan menangguhkan SPM dan STPM.

Seorang lagi pelajar, Patterson De Silva, bersetuju terdapat cabaran dengan pembelajaran dalam talian. Namun, katanya, SPM tidak patut ditangguhkan.

Ibu bapa Shankar Mathavan berharap peperiksaan SPM dapat ditangguhkan sehingga Jun untuk memberi pelajar lebih banyak masa untuk membuat persiapan.

Seorang bapa pelajar, Shankar Mathavan, berkata peperiksaan perlu ditangguhkan hingga Jun untuk beri pelajar lebih banyak masa membuat persiapan.

Dua ibu bapa yang lain bersetuju, mengatakan anak-anak mereka tidak begitu bersedia untuk menghadapi peperiksaan.

Sementara itu, Afiq Mohd Fadzli, dari SMK Damansara Utama berkata, persiapannya untuk SPM lebih kurang 80% kerana belajar sendiri. Namun, beliau tetap memilih kelas secara fizikal kerana menganggap pembelajaran dalam talian tidak berkesan.

Pelajar SMK Damansara Utama, Afiq Mohd Fadzli, gembira dapat kembali kerana lebih suka kelas fizikal berbanding kelas dalam talian.

Namun, beliau tidak setuju dengan gesaan membatalkan SPM untuk kumpulan tahun 2020, selepas isu itu dibangkitkan kerana pelajar menjadi lesu mental ekoran wabak dan penutupan sekolah berulang kali.

Seorang lagi bapa, Mohd Fadzli Yusof, berkata pelajar mesti dibenarkan untuk melangkah ke tahap seterusnya dalam pendidikan mereka.

“Walaupun dengan Covid-19, hidup mesti diteruskan.”

Jangkitan pada tahap tinggi sepanjang masa

Sementara itu, di Sabah, Nicole Jasmine dan rakan-rakannya di SMK St Francis Convent di Kota Kinabalu mempersoalkan mengapa pelajar dikehendaki kembali ke sekolah ketika jangkitan pada tahap tinggi.

Namun, beliau berharap SPM tidak ditangguhkan kerana ia tidak memberi manfaat bagi pelajar sekiranya mereka terpaksa mengikuti kelas dalam talian lagi. Beliau berkata banyak pelajar mengalami gangguan hubungan internet.

Begitu juga, Myra Richard dari SMK All Saints merasa tidak selamat untuk pergi ke sekolah sekarang apabila kes harian yang dilaporkan melibatkan “ribuan orang”.

Tambahnya, agak tergesa-gesa untuknya bersekolah satu bulan sebelum peperiksaan.

“Perkara terbaik adalah membatalkan SPM kerana saya rasa ia tidak selamat. Peperiksaan akan berlangsung maksimum dua hingga tiga minggu. Ini mempertaruhkan nyawa 400,000 pelajar SPM di seluruh negara hanya untuk ujian,” kata Myra.

Dalam pada itu ayahnya, Jason Richard, berkata bukan keputusan yang baik untuk memanggil semula pelajar kembali ke sekolah hari ini, dia yakin peperiksaan harus dilanjutkan.

“SPM mesti diteruskan hanya apabila selamat untuk melakukannya. Tetapi kembali ke sekolah hari ini? Saya tidak bersetuju dengan perkara ini, atau kembali ke sekolah dalam dua minggu akan datang.

“Bagaimana kita dapat menjamin keselamatan anak-anak kita? Sekiranya suhu seseorang normal, itu tidak bermakna mereka bebas dari virus, (kerana) orang boleh menjadi tidak simptomatik. Walaupun dengan ujian saringan di mana keputusan pertama adalah negatif, itu tidak bermakna anda tidak memilikinya (Covid-19),” katanya.

Di SMK Telipok, Debra Johnny merasa senang untuk kembali ke sekolah, walaupun persekitarannya mungkin tidak semeriah seperti sebelumnya.

Memakai pelindung muka

Di Sarawak, satu-satunya negeri yang kini tidak bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), pelajar dari SMK Batu Lintang di Kuching tiba di sekolah seawal 6 pagi. Walaupun mereka semua memakai topeng muka, ada yang mengambil langkah lebih berjaga-jaga dengan memakai pelindung muka.

Pelajar Fakrulnizam Parmin berkata, pembukaan semula sekolah hari ini adalah suatu kewajipan, terutama bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan.

Beliau juga berharap tidak ada lonjakan kes Covid-19 di Sarawak selagi para pelajar mematuhi SOP.

Sementara itu, bagi seorang ibu, Kelly Teo, walaupun sedikit bimbang, dia merasakan pembukaan sekolah ini yang terbaik kerana anak-anak banyak ketinggalan dalam pembelajaran.

Terdapat 400,445 pelajar yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020, yang pada awalnya ditangguhkan kerana Covid-19.

Peperiksaan itu seharusnya diadakan dari 16 Nov hingga 7 Dis tahun lalu, tetapi kerajaan memutuskan untuk menangguhkannya pada 6 Jan susulan pandemik Covid-19.

Namun, setelah gelombang kes ketiga sejak Okt tahun lalu, kementerian pendidikan mengumumkan pada 8 Nov bahawa SPM akan ditangguhkan ke 22 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.