Projek kuari musnah Air Terjun Tanjung Batu tak patuh 6 syarat EIA, kata menteri

Projek kuari musnah Air Terjun Tanjung Batu tak patuh 6 syarat EIA, kata menteri

Ketidakpatuhan itu melibatkan kerja tanah tanpa mengikut pelan 'Land Disturbing-Pollution Prevention and Migitatuon Measures'.

Jabatan Alam Sekitar Perak sedang melengkapkan kertas siasatan dan memanggil pihak berkaitan susulan kemusnahan Air Terjun Tanjung Batu akibat kegiatan kuari granit.
PETALING JAYA:
Siasatan awal ke atas kemusnahan Air Terjun Tanjung Batu dalam Hutan Simpan Kekal Segari Melintang di Perak akibat kegiatan kuari granit, mendapati berlaku enam ketidakpatuhan syarat penilaian impak alam sekitar (EIA).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketidakpatuhan itu melibatkan kerja tanah tanpa mengikut pelan “Land Disturbing-Pollution Prevention and Migitatuon Measures” (LD-P2M2).

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak telah menjalankan siasatan di Hutan Simpan Kekal Segari Melintang, Manjung pada 18 dan 19 Jan. Kemusnahan alam sekitar berpunca daripada tapak projek kuari granit.

“JAS telah memasang ‘cordon tape’, arahan di lapangan dan notis arahan juga dikeluarkan untuk tindakan remedi. JAS Perak sedang melengkapkan kertas siasatan dan memanggil pihak berkaitan,” katanya dalam catatan Facebook.

Ahad lalu, FMT melaporkan Air Terjun Tanjung Batu yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Segari Melintang musnah akibat kegiatan kuari berhampiran, sejak kerja perlombongan dibenarkan Julai tahun lalu oleh kerajaan Perak.

Tinjauan media bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aktivis Sahabat Alam Malaysia (Kuasa) dan penduduk kampung ke air terjun tujuh tingkat setinggi kira-kira 300m itu mendapati pokok di kiri dan kanannya dibersihkan yang mengakibatkan kemusnahan teruk.

Timbalan Pengerusi Kuasa, Ismady Radzuan berharap pihak berkaitan menghentikan kegiatan itu kerana air terjun itu menjadi tumpuan riadah masyarakat setempat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.