Nazir Razak gesa kontrak sosial baharu untuk masa depan lebih baik

Nazir Razak gesa kontrak sosial baharu untuk masa depan lebih baik

Katanya, majlis konsultatif akan menghimpunkan pemimpin bagi mencapai sepersetujuan bagiamana memastikan masa depan lebih baik untuk Malaysia dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Nazir Razak berkata, membiarkan sistem seperti sedia ada bererti masalah sama akan berulang-ulang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Nazir Razak, anak kedua mantan perdana menteri Abdul Razak Hussein, hari ini mencadangkan pembentukan kontrak sosial baru untuk memastikan masa depan lebih baik dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Bercakap dalam webinar mengenai masa depan model perpaduan sosial Malaysia, bekas pengerusi CIMB Group itu berkata wujud keperluan untuk menyemak ‘kontrak sosial tersirat’ yang menurutnya terpakai dalam hampir setiap perkara di negara ini.

Beliau kemudian mengulangi gesaannya untuk pembentukan Majlis Konsultatif Kebangsaan
(NCC) yang menghimpunkan pemimpin pelbagai bidang bagi memacu masa depan baru negara.

“Kita sebenarnya perlu kembali ke meja rundingan dan berbincang sesama masyarakat. Himpunkan pemimpin di satu meja dan capai persetujuan mengenai kontrak sosial baru.

“Apa yang dikatakan dalam NCC pada 1970-an tidak direkodkan. Mereka diberitahu, mereka boleh berkata apa saja dan perbincangannya memang hangat.

“Tun Razak dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman hanya duduk dan mendengar. Kemudian mereka mempersetujui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ketika itu sesuatu yang inovatif,” katanya pada perbincangan dihoskan Institut Asia-Eropah Universiti Malaya.

Nazir berkata, sukar untuk membincangkan isu kesepaduan masyarakat secara berasingan kerana ia turut meliputi politik dan ekonomi, malah pembaharuan paling kecil pun boleh diterima secara negatif seterusnya dibangkang.

Beliau memberi sebagai contoh, bagaimana abangnya bekas perdana menteri Najib Razak, telah cuba menghapuskan tindakan afirmatif menerusi Model Ekonomi Baharu tetapi gagal.

“Cubalah tarik balik tindakan afirmatif hari ini dan PAS, Umno serta yang lain akan membantah kerana menganggapnya menggugat hak Melayu. Jika mendesak pembaharuan pengundian akan dilihat sebagai mengurangkan hak Melayu. Jadi ia tidak boleh dilakukan secara berasingan.”

Katanya, membiarkan sistem seperti sedia ada bererti masalah sama akan berulang-ulang sambil memberikan sebagai contoh bagaimana Pakatan Harapan tetap dibelenggu isu-isu sama.

Sementara itu, Edmund Terence Gomez, profesor ekonomi politik di Universiti Malaya bersetuju dengan Nazir bahawa sistem naungan berasaskan bangsa perlu dihentikan, malah disifatkan mempengaruhi cara pemikiran pengundi.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Nazir supaya NCC dipertugaskan melakar masa depan negara, sebaliknya menyuarakan kebimbangan mengenai siapa yang akan menganggotai majlis seperti itu, seterusnya sejauh mana berkesan mencapai matlamatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.