
Menurut laporan di AS, Biden sudah menyenaraikan sejumlah arahan eksekutif, termasuk penyertaan semula perjanjian perubahan iklim Paris dan mengarahkan agensi menyatukan keluarga yang terpisah selepas menyeberangi sempadan dengan Mexico.
Ini bermakna beliau akan segera mengubah agenda tertentu Donald Trump sebelum ini.
Pakar berkata, pelantikan presiden baharu jelas akan mempengaruhi kedudukan geopolitik dan ekonomi Malaysia.
Walaupun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan muktamad, James M Dorsey, felo di S Rajaratnam School of International Studies di Singapura berkata, terdapat tiga bidang utama yang akan memberi kesan kepada Malaysia berikutan potensi perubahan dasar di AS.
“Perlu diperhatikan ialah bagaimana mereka berdepan China, hubungan mereka dengan Israel dan Palestin serta pendirian mereka mengenai hak asasi manusia.”
Katanya, AS mungkin cuba memanfaatkan pertikaian wilayah di Laut China Selatan dengan menawarkan bantuan sebagai pertukaran bagi dasar yang lebih menguntungkan di Malaysia dan negara Asia Tenggara lain.
“Saya tidak fikir Malaysia mahu dilihat ingin menyertai blok anti-China, tetapi itu tidak bermakna tidak ada cara lain bagi AS dan Malaysia menjalin kerjasama.”
Katanya, Biden mungkin berusaha memperbaiki hubungan dengan Palestin, sama ada melalui bantuan atau perbincangan rasmi, yang merupakan agenda diabaikan Trump.
Bagaimanapun, AS juga boleh memudah cara hubungan antara Malaysia dengan Israel sebagai cara tidak langsung untuk memberi tekanan kepada Palestin, sekutu kuat Malaysia, dalam rundingan damai, jika perlu.
“Berkaitan hak asasi manusia, saya fikir ia sangat penting untuk mereka kerana mereka perlu memulihkan krebiliti dan kedudukan meeka. Mengambil pendirian menyokong hak asasi manusia mungkin salah satu caranya.”
Malaysia pernah menghadapi masalah dengan AS berhubung isu hak asasi manusia berkaitan perdagangan, dengan produk beberapa pembuat sarung tangan tempatan dan pengeluar minyak sawit disekat Jabatan Kastam AS atas dakwaan penggunaan buruh paksa oleh syarikat pengeksport.
Dari sudut ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia menjangka pentadbiran Biden akan mengambil sikap “berkecuali sehingga negatif bersih” untuk Malaysia dalam jangka pendek.
“Jika dasar dalam negeri Biden meneruskan sekatan pergerakan Covid-19 yang mengganggu usaha pemulihan AS, atau jika pergolakan berterusan di negara itu, maka kesan limpahan negatif akan menggugat perdagangan global dan serantau, sementara AS berusaha memulihkan keadaannya sendiri.
“Secara keseluruhan, saya rasa agenda domestik Biden muram dan tidak ada jalan pantas untuk membaiki ekonomi AS serta tidak berminat dalam isu antarabangsa sehingga masalah mereka selesai.”
Katanya, walaupun perdagangan dengan AS bertambah baik di bawah Trump, pembalikan keputusan tertentu yang dibuatnya boleh meningkatkan aktiviti ekonomi global dan dengan Malaysia.
“Jika beliau menerbalikkan keputusan Trump mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, maka ia dapat meningkatkan perdagangan serantau dan global.”
Walaupun tidak mungkin ada perjanjian perdagangan bebas dua hala antara AS dan Malaysia kerana batasan yang ditetapkan perjanjian lain, peningkatan dalam perdagangan global akan memberi kesan positif kepada Malaysia.