
Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, berdasarkan pengalaman lalu, kerenah birokrasi institusi perbankan dan syarikat pemberi pinjaman ialah punca permohonan pemandu teksi ditolak.
“Kami harap dengan adanya jaminan daripada kerajaan, institusi perbankan dan syarikat pemberi pinjaman tidak mengamalkan birokrasi yang melampau terhadap kami,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pengumuman Muhyiddin berhubung skim rehabilitasi sewa beli bas dan teksi untuk pengusaha menstruktur semula pinjaman mereka, menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan lebih rendah.
“Syarikat jaminan pinjaman perniagaan akan memperkenalkan skim ini. Menurut skim ini, 50% jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.
“Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan lebih rendah. Jaminan sebanyak RM1 bilion akan disediakan untuk tujuan ini,” kata Muhyiddin pada pengumuman khas pakej bantuan perlindungan ekonomi dan rakyat Malaysia (PERMAI) berjumlah RM15 bilion.
Kerajaan turut melonggarkan syarat pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi daripada minimum pemilikan kenderaan selama tujuh tahun kepada lima tahun sehingga 31 Dis ini.
Mengulas pemberian “one-off” RM500 kepada pemandu pengangkutan awam terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0, Kamarudin berkata, ia dapat membantu meringankan beban dihadapi kumpulan itu yang kehilangan pendapatan akibat Covid-19.
Katanya, pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi teksi dapat menyelesaikan masalah yang menghantui pemandu teksi selama ini.
“Sebenarnya duti eksais ini salah satu bebanan kepada kami dan menyebabkan banyak teksi tamat had usia penggunaan dan ada yang dijadikan besi buruk kerana pemandu kami tidak mampu membayar cukai berkenaan.”
Dengan adanya pengecualian cukai eksais ini, menurut Kamaruddin, secara tidak langsung memberi sinar kepada pemandu teksi melakukan proses pindah milik, pelupusan dan sebagainya.