Boleh guna kenderaan persendirian untuk hantar barang – buat masa ini

Boleh guna kenderaan persendirian untuk hantar barang – buat masa ini

Kerajaan sedang mengkaji penggunaan kenderaan persendirian untuk penghantaran, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, berkata pemandu bas dan teksi juga boleh mengubah lesen mereka untuk membawa barangan untuk tempoh sementara.
PETALING JAYA:
Putrajaya mengkaji penggunaan kenderaan persendirian untuk perkhidmatan penghantaran yang semakin meningkat, mengambil kira semakin banyak orang memilih ekonomi gig ketika pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, kementerian akan meneliti perkara itu untuk mewujudkan peraturan sesuai bagi memastikan kegiatan perniagaan boleh berkembang, tetapi ini akan mengambil masa untuk dimuktamadkan.

“Buat masa ini, golongan pekerja bebas atau separuh masa yang menggunakan kenderaan persendirian, sama ada motosikal atau kereta, untuk menghantar barangan dan bungkusan, boleh meneruskan aktiviti itu.

“Keputusan ini bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti bagi menjana pendapatan dalam pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan.

Pembantunya mengesahkan ini hanya terpakai untuk mereka yang menggunakan kenderaan peribadi bagi penghantaran barangan perniagaan sendiri, dan tidak berkaitan dengan mereka yang bekerja dengan syarikat e-panggilan.

Wee mengakui potensi dari segi manfaat ekonomi untuk rakyat dari industri barangan pihak ketiga dan penghantaran barangan, menjangkakan ia akan berkembang lagi pada masa akan datang.

Beliau menasihatkan individu yang bekerja sendiri supaya mendapatkan perlindungan skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri menerusi Perkeso, serta sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas.

Katanya lagi, mereka yang dilesenkan untuk membawa penumpang, seperti pemandu bas dan teksi, boleh memohon lesen sementara, atau mengubah sementara lesen kenderaan awam mereka untuk membolehkan mereka menghantar barang.

“Mereka yang sudah mempunyai lesen pengendali, lesen perniagaan pengantaraan, atau lesen kenderaan komersial daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Lembaga Perlesenan Kenderaan Komersial (LPKK) di Sabah dan Sarawak, boleh memohon.

“Peraturan dan kaedah permohonan untuk lesen ini boleh diperolehi daripada agensi berkaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.