Annuar dedah surat kepada SUA Umno, bantah minta Ahli Parlimen panggil sidang Parlimen

Annuar dedah surat kepada SUA Umno, bantah minta Ahli Parlimen panggil sidang Parlimen

Annuar Musa mahu Ahmad Maslan menarik balik surat kepada Ahli Parlimen Umno, saran beliau rujuk pakar supaya 'lebih cerdik'.

PETALING JAYA:
Annuar Musa, mendedahkan suratnya kepada Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, di media sosial hari ini, membantah beliau minta Ahli Parlimen Umno bersetuju memanggil sidang Parlimen bagi membincangkan ordinan darurat, mengikut Perkara 150 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan (PP).

Menteri kerajaan Perikatan Nasional itu dalam surat itu mahu Ahmad menarik balik suratnya kepada wakil rakyat Umno itu, mengatakan surat itu suatu “kesilapan besar” dalam mentafsirkan fasal itu.

Katanya, Perkara 150 Fasal (3) PP bermaksud untuk memaklumkan kepada Parlimen tentang pengisytiharan dan ordinan yang dibuat bagi tujuan pengisytiharan darurat, dan pengisytiharan perlu dibentang setelah Parlimen bersidang.

“(Perkara itu) tidak menyatakan atau tidak bermaksud mensyaratkan Parlimen bersidang secepat mungkin atau mewajibkan Parlimen bersedang serta-merta selepas proklamasi darurat dibuat,” kata Annuar.

Bagi maksud Perkara 150 Fasal (3) PP itu, Parlimen bersidang untuk merungkai pengisytiharan darurat yang telah dibuat atau ordinan yang dibuat semasa darurat “sekiranya proklamasi dan ordinan tersebut tidak dibatalkan terlebih dahulu”.

Annuar beritahu Ahmad bahawa Parlimen tidak lagi bersidang setelah pengisytiharan dibuat, mengatakan Parlimen hanya boleh bersidang selepas tamat tempoh darurat.

“Setelah dimasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa) Perlu 2021 yang menangguhkan persidangan Parlimen, maka ordinan ini terpakai dan menjadi undang-undang yang mengikat.”

Sementara itu, Annuar juga berkata tindakan Ahmad ini tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh Umno, mendakwa ia bercanggah dengan kenyataan Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya lagi, surat Ahmad itu juga boleh ditafsirkan sebagai “percubaan menderhaka kepada Agong”.

“Ia juga satu usaha jelas untuk terus bersekongkol dengan Ketua Pembangkang Anwar (Ibrahim) dan DAP yang sebelum ini meminta perkara sama dilakukan oleh Ahli Parlimen,” katanya.

Di Twitter, Annuar menulis Ahmad memberi masa kurang daripada 24 jam kepada Ahli Parlimen Umno supaya menyatakan persetujuan untuk memanggil sidang Parlimen.

“Elok SUA Umno rujuk pakar perlembagaan supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang,” katanya.

Pada Khamis lepas, Anwar Ibrahim menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Agong membatalkan pelaksanaan darurat, dan memerintahkan Parlimen segera bersidang sebelum 31 Jan.

Katanya, Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan isu darurat, Covid-19, dan kemelut ekonomi, mengatakan pelaksanaan darurat hanya akan menyebabkan ekonomi bertambah meruncing.

“Kami beranggapan perdana menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sesungguhnya tidak terikat dengan permasalahan Covid-19, banjir atau ekonomi,” kata presiden PKR itu.

Blok pembangkang mendakwa darurat memberi Muhyiddin “kuasa mutlak…untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.