Stesen TV perlu bantu pendidikan murid, kata presiden Umno

Stesen TV perlu bantu pendidikan murid, kata presiden Umno

Ahmad Zahid Hamidi berkata pendidikan lebih diperlukan oleh rakyat pada masa ini berbanding program hiburan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat sesetengah ibu bapa sukar mengendalikan pembelajaran anak secara dalam talian kerana ramai antara suami isteri terbabit turut bekerja.
PETALING JAYA:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan stesen televisyen di negara ini memainkan peranan membantu murid dalam pembelajaran di rumah, susulan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka berikutan peningkatan kes Covid-19.

Zahid berkata, adalah lebih baik sekiranya saluran televisyen milik kerajaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pendidikan, memandangkan ketika ini ia lebih diperlukan oleh rakyat, terutama murid, berbanding program hiburan.

“Tidak terkecuali, stesen televisyen berbayar boleh juga (boleh) menyediakan saluran pendidikan tanpa henti sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada murid dan ibu bapa pada waktu sukar ketika ini.

“Slot siaran boleh dibahagikan mengikut mata pelajaran dan subjek teras untuk murid tahun 1 hingga 6 serta pelajar tingkatan 1 hingga 5.

“Pelajar dikehendaki mengikut jadual masa pembelajaran yang ditentukan oleh KPM melalui saluran pendidikan di televisyen,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ia perlu dilakukan memandangkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac lalu, guru dan pihak sekolah mengambil inisiatif mengajar secara dalam talian bagi memastikan pelajar tidak tercicir.

Namun katanya, masih terdapat banyak rungutan daripada ibu bapa berhubung kekangan yang mereka alami.

“Antaranya ibu bapa tidak berkemampuan menyediakan gajet seperti ‘laptop’ dan ‘handphone’ kepada anak-anak, kekangan wang menyediakan data, masalah jaringan internet, kesukaran guru mengajar silibus tinggi secara maya dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, KPM menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Jan ini di seluruh negara berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.

KPM berkata, sesi persekolahan bersemuka hanya melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

KPM juga berkata, semua murid sekolah rendah dan murid tingkatan 1 hingga 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Jan ini.

Menurut Zahid, terdapat sesetengah ibu bapa sukar mengendalikan pembelajaran anak secara dalam talian kerana ramai antara suami isteri terbabit turut bekerja.

Beliau berkata, bagi mengelakkan murid dan ibu bapa terlalu bergantung kepada gajet dan aplikasi WhatsApp, kementerian perlu menyediakan bahan pembelajaran untuk diambil oleh ibu bapa di sekolah, misalnya dalam tempoh seminggu sekali.

“Jangan terlalu menekan guru dengan soal pelaporan, dokumentasi serta menetapkan KPI dengan impak PdPR yang akhirnya menyusahkan guru dan seterusnya menjadi bebanan ke atas pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.