Pelancongan ‘terpinggir’ dalam pakej bantuan PERMAI, kata industri perhotelan

Pelancongan ‘terpinggir’ dalam pakej bantuan PERMAI, kata industri perhotelan

CEO Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, industri pelancongan akan musnah jika tiada bantuan.

Industri perhotelan didakwa hilang semua aliran pendapatan, harapkan lebih banyak bantuan langsung, kata MAH.
PETALING JAYA:
Pengusaha hotel menyuarakan kekecewaan terhadap Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion untuk membantu rakyat susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana meminggirkan golongan berkenaan.

CEO Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, industri itu kehilangan semua aliran pendapatan, justeru mengharapkan bantuan lebih langsung seperti subsidi upah lebih tinggi, selain lebih banyak diskaun untuk elektrik dan air, serta cukai berkaitan.

“Selain diskaun 10% untuk penggunaan elektrik dari Jan hingga Mac 2021, tiada bantuan lain untuk industri perhotelan (selama ini).

“Moratorium pinjaman sekali lagi diserahkan kepada bank komersial dan institusi kewangan,” katanya dalam kenyataan, merujuk pakej bantuan diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Yap berkata, industri itu menantikan bantuan berikutan terpaksa menempuh sekali lagi perintah kawalan pergerakan (PKP2.0) sejak 13 Jan yang melumpuhkan sektor pelancongan.

Katanya, kerajaan gagal memperbaiki insentif untuk industri pelancongan walaupun terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Program subsidi upah lebih tinggi diperlukan untuk memastikan perniagaan hotel dan pelancongan mampu bertahan. Tanpa bantuan, lebih ramai majikan terpaksa membuang pekerja,” katanya.

Yap berkata, industri itu berulang kali mencadangkan pemberian subsidi 50% bagi mereka yang berpendapatan hingga RM4,000 dan 30% bagi yang menerima gaji hingga RM8,000.

“Ini untuk membolehkan majikan terus mengekalkan tenaga kerjanya. (Tetapi) ini sekali lagi tidak diendahkan,” katanya.

Beliau kesal industri pelancongan sekali lagi “terpinggir” dalam program bantuan kerajaan walaupun banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

“Tanpa arah tuju dan perancangan jelas untuk industri pelancongan, masa depan kami gelap” katanya.

Laporan sebelum ini menyebut industri pelancongan menyumbang 14.1% (RM166 bilion) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2015; 14.5% (RM182 bilion) pada 2016; 14.6% (RM201 bilion) untuk 2017; 15.2% (RM220 bilion) bagi 2018 dan 15.9% (RM240 bilion) pada 2019.

Pandemik Covid-19 tahun lalu menjejaskan industri pelancongan dengan anggaran kerugian melebihi RM100 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.