Didakwa masuk MCA, DAP batal keahlian ADUN Malim Nawar

Didakwa masuk MCA, DAP batal keahlian ADUN Malim Nawar

Surat tunjuk sebab sudah diberikan kepada Leong Cheok Keng pada 6 Jan lalu selepas beliau dilihat memilih memaklumkan kepada media untuk tidak akan menjawab surat berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar Leong Cheok Keng dilaporkan menyertai MCA. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Disiplin DAP membatalkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng, selepas laporan media mengaitkannya menyertai MCA sebelum ini.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, pihaknya sudah memberikan surat tunjuk sebab kepada wakil rakyat berkenaan pada 6 Jan lalu, selepas Leong dilihat memilih memaklumkan kepada media untuk tidak akan menjawab surat itu.

“Atas sebab itu, Leong membuatkan Jawatankuasa Disiplin tiada pilihan lain, menamatkan keahlian partinya berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan.

Chong berkata, Perlembagaan DAP sudah jelas tidak membenarkan ahli parti menyertai mana-mana parti politik lain. Disebabkan itu, mana-mana ahli yang diketahui memohon atau memegang keahlian parti politik lain akan dibatalkan keahliannya.

“Memiliki dua keahlian adalah dianggap satu pengkhianatan kepada parti,” katanya.

Sebelum ini, China Press memetik sumber menyatakan MCA sedang dalam proses memuktamadkan keanggotaan Leong.

Presiden MCA Wee Ka Siong secara peribadi juga dilapor akan menyerahkan kad keahlian kepada ADUN berkenaan.

Ditanya mengenai perkara itu, Leong memilih untuk berdiam diri tetapi memberi jaminan kepada pengundi di kawasannya bahawa pusat khidmatnya akan terus beroperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.