Dakwaan kegiatan kuari musnah Air Terjun Tajung Batu, MB Perak arah henti semua aktiviti

Dakwaan kegiatan kuari musnah Air Terjun Tajung Batu, MB Perak arah henti semua aktiviti

Arahan itu dibuat sementara menunggu hasil siasatan mengenainya selesai.

Air Terjun Tanjung Batu yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang musnah akibat kegiatan kuari berhampiran, sejak kerja perlombongan dibenarkan Julai tahun lalu oleh kerajaan negeri.
PETALING JAYA:
Kerajaan Perak mengarahkan semua kerja di kawasan Air Terjun Tanjung Batu dihentikan susulan dakwaan ia musnah akibat kegiatan kuari berhampiran.

Menteri Besar Saarani Mohamad mengeluarkan arahan itu sementara menunggu hasil siasatan mengenainya selesai.

“Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berlaku kerosakan di sekitar kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) juga diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kepada kerosakan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam FMT melaporkan Air Terjun Tanjung Batu yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang musnah akibat kegiatan kuari berhampiran, sejak kerja perlombongan dibenarkan Julai tahun lalu oleh kerajaan negeri.

Tinjauan media bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) dan penduduk kampung ke air terjun tujuh tingkat setinggi kira-kira 300m itu mendapati pokok di kiri dan kanannya sudah dibersihkan, mengakibatkan kemusnahan teruk.

Timbalan Pengerusi KUASA, Ismady Radzuan, berkata pihak yang berkenaan diharap dapat menghentikan kegiatan itu, memandangkan air terjun itu menjadi tumpuan riadah masyarakat setempat.

“Kalau tengok keadaan air terjun, sukar untuk lakukan pemuliharaan tapi saya yakin kalau kita boleh hentikan aktiviti terbabit, kawasan ini boleh pulih secara semulajadi.

“Cuma saya tidak pasti bagaimana caranya kerana jika diikutkan kawasan kuari berkenaan termasuk dalam kompartmen air terjun ini,” katanya.

Tindakan tegas

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak Mohamed Zin Yusop berkata, tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil terhadap kontraktor yang terbabit dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat semakan sama ada kontraktor terbabit melanggar syarat lesen.

“Tindakan akan diambil mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984. Kontraktor juga telah diarah melakukan kerja pembersihan dengan segera,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kejadian itu berlaku disebabkan aktiviti kuari di kawasan berdekatan selain hujan lebat yang menghanyutkan sisa kayu ke dalam sungai.

“Jabatan perhutanan juga sedang menunggu laporan daripada pejabat hutan daerah untuk melihat tahap kerosakan itu”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.