
“Perbicaraan itu akan disambung semula pada 27 Jan tetapi tertakluk kepada sebarang lanjutan PKP oleh kerajaan. Jika PKP (perintah kawalan pergerakan) dilanjutkan lagi, mungkin kita akan mula pada 22 Feb,” kata timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, yang mengetuai pasukan pendakwaan, menerusi WhatsApp.
Timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Pihak pendakwaan dijadualkan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Fairul Rafiq Hamiruddin untuk memberi keterangan pada perbicaraan akan datang.
Pada 28 Okt tahun lalu, pihak pendakwaan memaklumkan hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes itu bahawa tujuh saksi lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Seramai 90 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang kali terakhir berlangsung pada 13 Okt tahun lalu termasuk ketua pegawai eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr, bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar; rakan kongsi firma guaman Tetuan Lewis & Co, B Muralidharan; pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Zahid, Mazlina Mazlan @ Ramly.
Zahid, 68, yang juga presiden Umno, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.