Pelawat memasuki Singapura perlu miliki insurans mulai 31 Jan

Pelawat memasuki Singapura perlu miliki insurans mulai 31 Jan

Semua pelawat yang memasuki Singapura di bawah ATP dan RGL perlu mempunyai insurans perjalanan untuk kos rawatan dan kemasukan ke hospital berkaitan Covid-19.

Singapura mengenakan sekatan sempadan lebih ketat bagi menangani risiko kes import Covid-19 dan penularan jangkitan tempatan daripada pelawat bermula jam 11.59 malam, 31 Jan depan. (Gambar Bernama))
SINGAPURA:
Pelawat yang bercadang memasuki Singapura di bawah pas perjalanan udara (ATP) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) perlu mempunyai insurans perjalanan untuk kos rawatan dan kemasukan ke hospital berkaitan Covid-19 di sini, dengan perlindungan minimum S$30,000.

Keperluan baharu itu berkuat kuasa mulai 11.59 malam pada 31 Jan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam semakan terbarunya mengenakan langkah sekatan sempadan yang lebih ketat bagi menangani risiko kes import Covid-19 dan penularan jangkitan tempatan daripada pelawat.

“Insurans perjalanan itu akan membantu mereka membayar kos rawatan perubatan di Singapura.

“Pelawat boleh membeli insurans perjalanan itu daripada syarikat insurans berpangkalan di Singapura atau di luar negara,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan semalam.

Senarai produk insurans yang tersedia boleh didapati di laman web SafeTravel di https://safetravel.ica.gov.sg/health.

Singapura mempunyai perjanjian RGL dengan lima negara, termasuk Malaysia dan enam kawasan di China.

Memandangkan kemunculan varian virus baharu dan keadaan Covid-19 yang semakin teruk di seluruh dunia, republik itu juga akan mengenakan langkah kawalan sempadan tambahan untuk semua pelawat.

Kementerian itu berkata, mulai 11.59 malam pada 24 Jan 2021, semua pengembara termasuk rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) perlu menjalani ujian “polymerase chain reaction” (PCR) Covid-19 sebaik tiba di Singapura.

Keperluan menjalani notis tinggal di rumah (SHN), termasuk ujian PCR pada akhir tempoh SHN akan diteruskan, menurut kenyataan itu.

Untuk mempercepatkan ujian PCR Covid-19 di lapangan terbang, MOH berkata, pengunjung amat digalakkan mendaftar dan membuat bayaran prabayar ujian sebelum mereka berlepas ke Singapura di https://safetravel.changiairport.com.

Sementara itu, sebagai langkah berjaga-jaga mulai 11.59 malam pada 18 Jan, semua rakyat Singapura dan PR yang pulang dari United Kingdom dan Afrika Selatan perlu menjalani pengasingan kendiri tambahan selama tujuh hari di kediaman masing-masing diikuti SHN selama 14 hari di kemudahan SHN, menurut MOH.

Kementerian itu berkata, ia akan terus mengkaji data dan bukti mengenai sebarang virus baharu dan mengemas kini langkah sewajarnya.

Sehingga tengah hari semalam, Singapura mengesahkan lima kes baharu jangkitan Covid-19 tempatan dan 19 kes import.

Jumlah kes positif di republik itu ialah 59,083.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.