
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Mahadi Md Rodzi, berkata nilai pampasan yang dicadangkan terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan jumlah projek yang ingin dibangunkan, selain faktor kehilangan pendapatan nelayan yang dilihat akan kekal.
“Pampasan RM20,000 amat tidak logik dengan cadangan bayaran pula ada yang tidak dibayar sepenuhnya.
“Bayaran kepada nelayan di kawasan paling dekat dengan pulau A iaitu Permatang Damar Laut akan dibayar dahulu sebanyak 75% manakala bakinya dicadangkan RM800 setahun.
“Bagi nelayan di Sungai Batu dan Gertak Sanggul (nelayan bawah kategori A) pula dibayar 25% daripada jumlah pampasan, manakala nelayan bagi kategori B hanya RM4,000 dicadangkan untuk dibayar secara ‘one off’, serta tiada cadangan pampasan kepada nelayan di seluruh negeri yang diletakkan bawah kategori C,” katanya kepada Bernama.
Persatuan itu sehingga kini tetap dengan pendirian membantah cadangan projek terbabit.
Mengenai beberapa pakej lain yang dijangka diberikan kerajaan negeri antaranya pemerkasaan seperti pembinaan jeti baharu, koperasi nelayan, skim tuisyen dan pendidikan untuk anak-anak, skim latihan untuk nelayan dan peluang pekerjaan bagi mereka yang layak, Mahadi berkata ia dilihat tidak mampu meyakinkan nelayan.
“Kita sedia maklum peruntukan kerajaan untuk jeti selama ini tidak pernah putus diterima manakala koperasi juga tidak perlu kerana majoriti nelayan menjadi ahli dalam persatuan nelayan bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Latihan apa yang hendak diberikan kepada nelayan, peluang pekerjaan apa yang ada, adakah nelayan perlu beralih ke bidang lain,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengulas perkara itu berkata sumbangan tunai tersebut merupakan sebahagian daripada pakej untuk meningkatkan taraf hidup nelayan di kawasan itu, yang akan diumumkan pada Khamis.
Bawah projek PSR, kerajaan negeri mencadangkan projek pembangunan menebus guna kawasan laut seluas 1,821 hektar termasuk pembinaan tiga pulau buatan di kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hingga ke perairan Permatang Damar Laut.