
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira 6.50 petang Jumaat itu, tanah mendap sedalam 10m berkeluasan 500m x 100m berlaku berhampiran Jalan PKPS di Kampung Bestari Jaya.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira 6.51 petang dan tujuh anggota dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.
“Berdasarkan maklumat awal, JBPM Selangor diberitahu terdapat seorang mangsa tertimbus akibat tanah mendap, bagaimanapun selepas melakukan kiraan pekerja di dua premis berhampiran didapati tiada orang hilang atau tertimbus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati masih berlaku runtuhan kecil dan mendapan, serta satu rekahan sedalam 10m turut dikesan di kawasan tanah mendap itu.
Oleh itu, katanya, JBPM Selangor dan polis menasihatkan operasi di dua premis itu dihentikan sementara dan pekerja yang tinggal di asrama berhampiran lokasi tanah mendap dipindahkan ke PPS SK Rantau Panjang.
“JBPM Selangor telah menjalankan kerja sanitasi di sekolah berkenaan sebelum pekerja ladang ternak ayam itu dipindahkan.”